Thursday, April 26, 2012

Tazkirah



Apabila Allah ambil daripadamu sesuatu yang kamu tak sangka akan kehilangannya,pasti suatu hari nanti Dia akan berikan kepadamu sesuatu yang kamu tak sangka akan memilikinya.

[Syeikh Mutawalli as-Sya'rawi رحمه الله]
‎[Himpunan syair, kata² hikmah dan pepatah Arab]

Hukum Demonstrasi



Secara amnya, kami telah pun menjelaskan hukum demonstrasi menurut Islam di dalam Sautun Nahdhah siri ke-71 (tahun 2006). Namun demikian, kami masih tetap berusaha untuk mengingatkan para pembaca sebagai saudara sesama Muslim dan menambah sedikit lagi perbincangan mengenainya. Adalah amat penting untuk kita fahami bahawa memuhasabah penguasa adalah satu kewajiban di dalam Islam, dan tanggungjawab ini terletak di bahu setiap Muslim tidak kira lelaki atau wanita serta di mana sekalipun mereka berada. Allah SWT telah mewajibkan kepada pemerintah untuk memerintah berdasarkan Al-Quran dan Sunnah dan umat Islam pula diwajibkan mentaati ulil amri (pemerintah) selama mana mereka masih berpegang teguh dengan Al-Quran dan Sunnah. Namun apabila mereka telah menyimpang dari keduanya, maka sabda Nabi SAW, 
“Tidak ada ketaatan kepada makhluk di dalam (perkara) memaksiati Allah” [HR Ahmad]. 

Inilah yang difahami oleh para sahabat dan ini ditunjukkan kepada kita dengan ucapan Abu Bakar As-Siddiq ketika beliau memegang jawatan Khalifah, katanya,
“Bantulah aku sekiranya aku berada di jalan yang benar dan betulkanlah aku jika aku menyimpang....taatilah aku selama mana aku mentaati Allah dan RasulNya. Apabila aku mengengkari Allah dan RasulNya, maka engkari dan nasihatilah aku”.
Dari banyak nas dan teladan daripada Al-Quran, As-Sunnah serta Khulafa’ Rasyidun, kita dapat fahami bahawa apabila seseorang penguasa itu tidak berhukum dengan Al-Quran dan Sunnah, sebalikya berhukum dengan hukum taghut seperti dalam sistem demokrasi sekarang, maka dia tidak lagi perlu ditaati sebaliknya wajib diluruskan (dimuhasabah). Muhasabah kepada pemerintah boleh (malah wajib) dilakukan di dalam pelbagai bentuk yang dibenarkan oleh syarak dan tidak terbatas hanya kepada satu bentuk tertentu sahaja. Ia boleh dilakukan baik secara individu atau berkumpulan, secara lisan mahupun penulisan, baik di media cetak, media elektronik dan sebagainya. Demonstrasi adalah salah satu dari bentuk muhasabah yang dibenarkan dengan syarat tidak melakukan kerosakan di dalamnya. Dalil-dalil secara amnya membolehkan anggota masyarakat untuk berkumpul dan menyuarakan pendapat selama mana pendapat tersebut adalah diperbolehkan di dalam Islam. 
Protes dan demonstrasi adalah merupakan salah satu cara untuk menyuarakan pendapat. Namun perlu difahami bahawa hukumnya adalah bergantung kepada sebab dan tujuan demonstrasi atau protes tersebut dilakukan. Oleh itu segala fakta tersebut mestilah dianalisakan sebelum sesuatu uslub (cara) untuk menyuarakan pendapat tersebut boleh dikategorikan sebagai halal atau haram. Contohnya, sekiranya umat Islam keluar berdemonstrasi untuk menjadikan riba sebagai suatu yang halal, maka demonstrasi atau protes tersebut adalah haram sebab tujuannya adalah untuk melaksanakan suatu yang haram. Begitu juga jika anggota masyarakat keluar berdemonstrasi untuk menghalalkan arak, judi atau berdemonstrasi untuk melaksanakan atau mempertahankan undang-undang taghut atau Perlembagaan taghut, maka kesemua bentuk demonstrasi ini adalah haram. Tetapi sekiranya masyarakat keluar untuk memuhasabah pemerintah yang zalim atau untuk menyuruh mereka menerapkan undang-undang Islam, maka demonstrasi seperti ini adalah diperbolehkan. Ia ‘halal’ untuk dilakukan, bukan kerana Perlembagaan membenarkan atau kerana mendapat permit polis, tetapi kerana nas (dalil) membenarkannya!
Satu lagi dalil umum yang membenarkan ‘tunjuk perasaan’ adalah perintah amar ma’ruf nahi munkar yang diwajibkan ke atas umat Islam. Sabda Rasulullah SAW,
“Jihad yang paling afdhal adalah menyuarakan yang haq di hadapan pemerintah yang zalim” [HR an-Nasa’i]. 
Hadis ini yang memerintahkan untuk melakukan aktiviti politik tanpa merincikan cara untuk menyuarakan kebenaran (hak) terhadap kezaliman pemerintah, menunjukkan bahawa segala cara yang tidak dibuktikan haram oleh syarak, maka ia diperbolehkan. Jadi, sama ada melalui surat, menyebarkan risalah, menerbitkan buku, menulis artikel di dalam media atau menegur secara terus kepada pemerintah adalah kesemuanya cara yang dibolehkan untuk mencapai tujuan tersebut. Hadis riwayat Bukhari yang berbunyi 
“Sampaikan dariku walaupun satu ayat”
juga membawa maksud untuk menyampaikan kebenaran Islam kepada orang lain tanpa dirincikan kepada cara-cara tertentu. Oleh itu hadis-hadis ini sesungguhnya membolehkan kita untuk menyampaikan kebenaran (Islam) baik melalui cara perseorangan atau berkumpulan, baik di tempat khusus mahupun umum, baik di dalam kelas pengajian atau melalui internet dan sebagainya. Apa sahaja tindakan yang membawa kepada tujuan tersebut adalah diperbolehkan, selagi tiada dalil yang menunjukkan keharaman cara-cara tertentu yang diambil.

Di dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda, 
“Penghulu para syuhada adalah Hamzah dan seorang yang berdiri di hadapan pemerintah yang zalim, menasihatinya lalu dia dibunuh oleh pemerintah tersebut” [HR al-Hakim]. 
Fakta bahawa ‘penguasa diperbetulkan di hadapan umum dan di tempat umum’ adalah merupakan sebab yang paling utama untuk orang yang memperbetulkan pemerintah tersebut, dibunuh (oleh pemimpin yang zalim), sesuai dengan ungkapan hadis di atas. Di zaman Saidina Umar Al-Khattab menjawat jawatan Khalifah, beliau berpidato, 
“Sesiapa di antara kalian yang melihat pada diriku suatu penyelewengan, maka hendaklah kalian meluruskannya”. Mendengar hal ini, seorang Arab badwi dengan lantang menjerit,“Demi Allah wahai Umar! Jika kami dapati kamu melakukan penyelewengan, maka kami akan meluruskan kamu dengan pedang kami yang tajam!”
Apakah tindakan Umar tatkala mendengar kenyataan sekeras ini? Khalifah yang hebat ini menerima jawapan itu dengan pujian dan penuh rasa gembira, beliau menjawab, 
“Alhamdulillah, pujian bagi Allah yang menjadikan dari kalangan umat Muhammad mereka yang sanggup meluruskan Umar dengan pedangnya”.
Demikianlah seorang pemimpin yang adil dan baik, yang menerima secara terbuka nasihat dari rakyatnya, bukan sebagaimana seorang pemimpin yang zalim, yang menangkap dan membunuh rakyat yang menasihatinya! 
Syeikh Abdul Aziz Al-Badri di dalam kitabnya ‘menterjemahkan’ kata-kata Umar seperti berikut: 

“Tidak terlaksana maksud ‘meluruskan’ dalam perkara yang membabitkan pemerintahan melainkan dengan cara mengkritik. Islam mewajibkan ke atas setiap pemerintah yang menguasai urusan kaum Muslimin agar mendengar dan berlapang dada terhadap sesiapa sahaja yang mengkritiknya, sebagaimana ia diperintahkan agar tunduk kepada kritikan ini selagi mana ia bertepatan dengan perundangan dan hukum-hukum Islam. Sekaligus Islam melarang sebarang bentuk seksaan yang boleh menyakiti dan ancaman terhadap mereka yang mengkritik dan membangkangnya, sekalipun menerima kritikan yang pedas ataupun dengan kata-kata yang keras dan tajam” [Abdul Aziz al-Badri, Al-Islam Baina al-Ulama’ Wa al-Hukkam]. 


Pasa satu ketika yang lain, Saidina Umar juga pernah ditegur di khalayak ramai di dalam satu majlis dengan dikatakan kepada beliau, 
“Bertaqwalah engkau kepada Allah wahai Umar!’. Salah seorang yang hadir dalam majlis itu mencelah, ‘Berani engkau berkata demikian terhadap Amirul Mukminin!. Namun Saidina Umar menjawab dengan mutiara kata yang indah, ‘Tiada kebaikan bagi kamu (rakyat) jika kamu tidak menyatakannya dan tiada kebaikan bagi kami (pemerintah) jika kami tidak mendengarnya” [Manaqib Amir al-Muminiin, Ibnu Jawzi].
Terdapat banyak sekali nas yang membenarkan perhimpunan (muhasabah) dilakukan di tempat umum. Imam Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas yang mengatakan, 
“Apabila ayat berikut diturunkan, ‘Dan berikan peringatan (wahai Muhammad) kepada kaummu dan ahli keluargamu” [TMQ asy-Syu’ara (26):214], Rasulullah SAW berdiri di atas bukit Safa dan memberikan peringatan, “Wahai Bani Fahr! Wahai Bani ‘Adi!”. Ramai orang telah berkumpul termasuk Abu Lahab, lalu Rasulullah (SAW) bersabda, “Apa pandangan kamu sekiranya aku memberitahumu bahawa terdapat pasukan berkuda di sebelah lembah ini yang datang untuk menyerang kamu, adakah kamu mempercayaiku?’ Mereka menjawab, ‘Ya, kami tidak pernah melihat engkau berdusta’. Baginda lalu bersabda, ‘Aku adalah pemberi peringatan kepada kamu tentang azab yang besar’. Abu Lahab kemudian berkata, ‘Binasalah kamu! Apakah kamu mengumpulkan kami semata-mata untuk mendengar ucapan ini?”. 

Dalam redaksi Imam Muslim yang meriwayatkannya dari Abu Hurairah, 
“Apabila ayat tersebut diturunkan, Rasulullah SAW telah memanggil kaum Quraisy dan mereka berkumpul lalu diberikan peringatan. Kemudian baginda SAW merujuk kepada kaum tertentu dan berkata, ‘Wahai Quraish, selamatkan diri kamu daripada api neraka; wahai kaum Bani Ka’ab, selamatkan diri kamu daripada api neraka; wahai Fatimah anak kepada Muhammad, selamatkanlah diri kamu daripada api neraka, sebab aku tidak berkuasa untuk menolong kamu daripada azab Allah kecuali yang mana aku memelihara hubungan denganmu”.
Apa yang jelas di sini adalah, apabila Rasulullah SAW menerima perintah untuk berdakwah kepada kaumnya, baginda telah pergi ke Bukit Safa sambil memanggil kaum Quraisy untuk mendengar peringatannya. Peristiwa ini menunjukkan kepada kita bahawa diperbolehkan untuk menyampaikan kebenaran di khalayak ramai dan di tempat umum. Perbuatan Rasulullah ini menjadi dalil kepada kita bahawa berhimpun di tempat umum adalah dibolehkan. Namun apa yang mesti perhatikan di sini adalah, ‘perkara’ yang wajib disampaikan itu hendaklah perkara yang sejajar dengan tuntutan Islam, bukannya sejajar dengan undang-undang kufur. Dengan kata lain, perkara yang ingin diperkatakan itu adalah perkara yang bertepatan dengan Al-Quran dan Sunnah, bukannya perkara yang bertepatan dengan Perlembagaan taghut atau undang-undang taghut atau ke arah untuk melaksanakan atau mengekalkan sistem taghut.
Sesungguhnya di zaman Rasulullah SAW telah pun berlaku satu bentuk ‘demonstrasi’ yang dilakukan oleh para sahabat. Mujahid, yang melaporkan dari Ibnu Abbas, mengatakan bahawa, ketika Umar al-Khattab ditanya kenapakah dirinya mendapat gelaran al-Faruq (yang dapat memisahkan antara kebenaran dengan kebatilan), Umar berkata, 
“Sejak aku memeluk Islam, adakah kita berada di jalan yang benar, di sini dan di Akhirat?’ Rasulullah SAW menjawab, ‘Sememangnya engkau adalah dalam keadaan demikian! Aku bersumpah dengan nama Allah yang nyawaku di dalam genggamanNya, engkau adalah di atas jalan yang benar di dunia ini dan di Akhirat’. Aku bertanya kepada Rasulullah, “Jika demikian, kenapakah kita melakukan aktiviti yang tersembunyi, tidak di khalayak ramai? Aku bersumpah dengan nama Allah yang mengutusmu dengan kebenaran, kita akan meninggalkan aktiviti sembunyi dan kita akan melakukan dakwah terang-terangan di hadapan masyarakat umum’. Kami kemudian berarak dalam dua kumpulan, Hamzah mengetuai yang satu lagi. Kami bergerak ke masjid di siang harinya. Apabila kaum musyrik melihat kami berkumpulan, muka mereka menjadi resah gelisah, dan mereka berasa susah dan berdukacita. Sejak peristiwa tersebut, Rasulullah SAW memberikan gelaran al-Faruq kepadaku” [Rahiq al-Makhtum].
Oleh yang demikian, demonstrasi dan protes terhadap penguasa yang bertujuan agar mereka menerapkan Islam, meluruskan kezaliman mereka atau membongkarkan pengkhianatan mereka terhadap Islam atau persekongkolan mereka dengan kuffar, adalah diperbolehkan berdasarkan nas-nas yang umum dan juga khusus. Kebolehan tersebut adalah dengan syarat bahawa tidak ada hukum-hukum syarak lainnya dilanggar semasa melakukan demonstrasi seperti pemusnahan harta benda awam, slogan jahiliyyah atau pencampuran bebas lelaki dan wanita dan seumpamanya.
Khatimah

Wahai kaum Muslimin saudara seIslam sekalian! Sukalah kami mengingatkan kalian bahawa walaupun demonstrasi aman (masirah) dibenarkan dalam Islam, namun lihatlah kepada perkara atau ‘tuntutan’ di dalam demonstrasi yang ingin kalian lakukan. Sekiranya tuntutan yang kalian ingin suarakan adalah bertepatan dengan Islam dan sesuai dengan kehendak Allah, maka silalah berbuat demikian, semoga Allah bersama kalian dan semoga Allah memakbulkan tuntutan kalian. Namun, jika apa yang kalian ingin suarakan di dalam demonstrasi adalah suatu yang bertentangan dengan Islam dan perintah Allah, maka jauhilah diri-diri kalian dari murka Allah dan nasihatilah saudara-saudara kalian yang lain agar tidak melakukan hal yang sama. Fikirkanlah dengan berlapang dada dan hati yang jernih serta penuh keikhlasan semata-mata kerana Allah, adakah tuntutan untuk ‘membersihkan’ pilihan raya di bawah sistem demokrasi kufur ciptaan manusia ini, merupakan cara yang bertepatan dengan syarak di dalam usaha kita untuk merubah sistem taghut ini, kepada sistem Islam ciptaan Allah Azza Wa Jalla?

Wednesday, April 25, 2012

18 SEBAB JIN MERASUK MANUSIA




WANITA suka bersolek dan gemar berpakaian mendedahkan aurat sasaran utama golongan jin untuk dipikat. Salah seorang imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor, Ustaz Ahmad Dasuki Abd Rani berkata, dalam setiap tubuh manusia ada jin dan makhluk halus itu sentiasa berusaha mempengaruhi kita mengikut telunjuk mereka.

Pendakwah bebas lulusan Universiti Al-Azhar itu berkata, ramai manusia tidak menyedari tindak-tanduk mereka sentiasa menjadi perhatian jin.

Jin sebenarnya suka memikat manusia, terutama wanita yang suka bersolek dan gemar berpakaian mendedah aurat,” katanya ketika membentangkan kertas kerja berkaitan peranan jin di Masjid Kota Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Menurut Ustaz Dasuki lagi, jin tidak akan datang mengacau seseorang itu melainkan ia sudah terpikat.

“Bila sudah berkenan, jin akan berusaha memasuki tubuh orang yang dia suka dan terus bersarang di dalamnya,?tambahnya.

Lazimnya, kata beliau, jin memilih manusia yang lemah semangat dan tidak mempunyai pendinding diri untuk dipikat.
“Manusia yang sudah lupa Allah dan menjauhi Al Quran tidak lagi mempunyai pendinding diri dan sebab itu mudah dipengaruhi jin,” tambahnya
Manurut Ustaz Dasuki lagi, jin menyusup masuk ke dalam tubuh manusia dengan berbagai cara, antaranya diminta manusia sendiri sama ada sedar atau tidak. Lebih malang lagi, katanya, manusia sendiri menggunakan khidmat jin sebagai khadamnya untuk melakukan pengkhianatan kepada orang lain.

Ustaz Dasuki menyatakan 18 sebab jin merasuk manusia, iaitu:

1. Apabila manusia meringankan solat dan tidak mentaati perintah Allah.
2. Terdapat alat muzik atau alat melalaikan didalam rumah
3. Meninggikan suara dalam bilik air
4. Menangis dan merintih sebelum tidur
5. Membuang air panas ke dalam bilik air
6. Melompat tinggi tanpa membaca Bismillah
7. Memasuki tempat gelap yang ditinggalkan
8. Perasaan terlalu takut dan terlampau gembira, seperti ketawa berlebihan
9. Selalu bertengkar suami isteri
10. Terlampau marah
11. Mengikut hawa nafsu
12. Terdapat gambar lukisan manusia dan anjing di dalam rumah
13. Terdapat lambang salib pada lantai, sejadah atau langsir
14. Menghadiri majlis yang melekakan tanpa menyebut kalimah Allah
15. Perempuan suka bersolek
16. Berlaku sihir perjanjian di antara jin dan tukang sihir
17. Jin jatuh cinta pada manusia
18. Suka membaca buku cerita hantu dan buku berunsur sihir.

Beliau juga memberikan beberapa tanda manusia dirasuk jin, antaranya sukar tidur malam, hati berdebar-debar terutama pada waktu senja atau perasaan resah tidak menentu.

Mimpi berulang mengenai perkara yang menakutkan seperti melihat anjing hitam, kucing, ular, manusia pelik, dibawa ke kubur atau diusung ke tempat mengerikan juga dikaitkan dengan gangguan jin.

Selesema berpanjangan juga dikaitkan dengan gangguan makhluk halus selain malas berzikir dan solat,?katanya.
Selain itu, manusia dirasuk jin merasa sakit pada sesetengah anggotanya tapi sukar dikesan oleh doktor.

Lain lain tanda ialah pening berpanjangan terutama pada waktu senja, otak lemah, tidak sedar diri serta telinga berdesing atau mendengar kata-kata suruhan tertentu

(Ayat 97-98 : Al-Mukminun) molek dibaca sebelum solat, untuk mengelak dari gangguan was-was dan gangguan setan..:)

DOA PENDIDING DARI SIHIR & SYAITAN

(Ayat 84 : An-Nisaa)
(Ayat 64 : Yusof)
(Ayat 97-98 : Al-Mukminun)

Monday, April 23, 2012

Perkara2 syaitan hairan dgn manusia



"Rasulullah s.a.w pernah bertanya kepada iblis
laknat, Wahai iblis! Apakah ikhtiarmu ke atas
umatku, aku telah dibangkitkan untuk
menyelamatkan semua umat manusia agar
beriman kepada Allah S.W.T.

Iblis menjawab, Ya Tuhanku! Demi kemuliaanMu,
aku akan bersungguh-sungguh menyesatkan umat
manusia dari mengikuti ajaran nabiMu, aku akan
mencampur gaulkan lelaki dan wanita supaya
senang aku mencelah ditengahnya.

Rasulullah s.a.w bertanya lagi, Wahai iblis! Apa
lagi yang engkau musykilkan?Kata iblis, Ya
Muhammad! Sebenarnya aku sangat hairan
dengan sikap umatmu dalam dua perkara iaitu

Pertama: Mereka mengaku mencintai Allah S.W.T
tetapi dalam masa yang sama mereka masih
melakukan maksiat serta perkara mungkar.

Kedua: Mereka sangat benci akan tabiatku tetapi
mereka masih mahu mengikut segala hasutanku.

Allah berfirman, Sememangnya engkau makhluk
terkutuk! Demi kemuliaanKu, Aku akan berikan
pada umat Muhammad dua kebahagiaan iaitu,
pertama: Kecintaan mereka terhadapKu akan Aku
jadikan penebus dosa diatas kesalahan yang telah
mereka lakukan kerana tipu helahmu. Kedua:
Marah mereka itu kepada kamu akan Aku jadikan
penebus dosa bagi maksiat yang telah mereka
lakukan. Iblis menjadi tercengang bila
mendengarkan penjelasan sedemikian dari Allah.
Barulah iblis mengetahui bahawa umat Nabi
Muhammad s.a.w adalah umat yang amat
disayangi oleh Allah S.W.T yang Maha
Pengampun lagi Maha Mengasihani. "