Wednesday, June 16, 2010

diam dengan nama Allah

“Imam, saya mahu dapatkan penjelasan awak” kata Ali.

“Silakan” saya mengajak beliau duduk di kerusi.

“Tak apa. Tak payah duduk. Saya minta Imam buka Quran terjemahan itu!” tegas Ali.

Saya kaget.

Mengapa begitu tegang intonasi Ali?

Saya mencapai naskhah terjemahan al-Quran di dalam Bahasa Inggeris yang berada di pejabat. Terjemahan versi Dr. Muhammad Taqiuddin Al-Hilali dan Dr. Muhammad Muhsin Khan.

“Buka surah al-Ikhlas” Ali memberikan ‘arahan’.

Saya patuh.

“Cuba baca terjemahannya” Ali terus mendesak saya.

“Say (O Muhammad): “He is Allah, (the) One” saya menukilkan apa yang tercatat.

“Nampak tak di mana masalahnya?” soal Ali.

“Tidak” saya menjawab lurus.

“Astaghfirullah. Allah menghijab kamu!” tegas Ali.

“Astaghfirullah. Allah menghijab sesiapa yang dikehendaki-Nya. Apa maksud kamu?” saya kepanasan namun masih cuba bertahan.

“Lihat di dalam kurungan itu. ‘O Muhammad’. Itu masalahnya!” Ali semakin meninggikan suara.

“Kenapa pula?” saya masih tidak dapat menangkap maksud Ali.

“Muhammad sana, Muhammad sini. Penuh dalam Quran terjemahan ini perkataan Muhammad. Saya sudah kira, dah jumlahnya pula hampir sama banyak dengan lafaz Allah. Adakah kita menyembah Muhammad?” soal anak muda itu.

Aduh. Apa pula isu yang dibawa oleh Ali ini. Saya khuatir dengan keadaan dirinya. Baru sahaja tempoh hari dia bermati-matian mempertahankan pendapatnya bahawa cara Qiyam yang betul di dalam Solat ialah dengan meluruskan tangan ke bawah, dan bukannya ditekup tangan kanan di atas tangan kiri di kawasan dada. Alasannya, posisi tangan lurus ke bawah adalah paling tenang. Sebab itu mayat apabila menghembuskan nafas terakhir, tangannya jatuh ke sisi!

Saya letih melayan perbahasan seperti ini.

Entah di mana hujung pangkalnya.

Paling saya bimbangkan, Ali memiliki Laura.

Gadis yang memeluk Islam beberapa bulan yang lalu, dan saya nikahnya beliau dengan Ali agar dapat membimbing Laura.

Makin lama Ali menjadi semakin agresif.

Dan petang ini, beliau mendesak saya menarik balik semua Quran terjemahan Bahasa Inggeris yang ada banyak kalimah Muhammad.

“Ali, bukankah Muhammad itu ditulis di dalam kurungan!” saya cuba menjelaskan keadaan.

“Apa bezanya?” Ali tidak berpuas hati.

“Setiap yang ditulis di dalam kurungan, maksudnya ia bukan terjemahan langsung nas al-Quran, sebaliknya tafsir atau penjelasan yang cuba diberikan oleh para ahli Tafsir untuk kemudahan kita memahami ayat-ayat al-Quran” saya masih mencuba.

“Mana boleh. Ini kitab suci. Mana boleh masuk-masukkan sesuka hati!” Ali semakin keras.

“Ini terjemahan kitab Suci. Al-Quran kita ialah yang hijau di almari itu. Ini terjemahannya” saya menolak bantahan Ali.

“Saya tidak setuju. Al-Quran di dalam Bahasa Arab itu kitab suci untuk kita yang faham Bahasa Arab. Bagi orang yang tidak berbahasa Arab, maka terjemahan inilah kitab sucinya” bentak Ali lagi.

“Tidak. Terjemahan itu panduan. Setiap Muslim mesti belajar sehingga boleh membaca al-Quran di dalam bahasa Arab ini” saya cuba membawa Ali kembali kepada prinsip.

“Saya tetap tidak setuju perkataan Muhammad banyak dimasukkan ke dalam terjemahan. Ia menyesatkan. Sama seperti Bible yang penuh nama Jesus!” Ali mempertahankan pendapatnya.

Ya Allah, penatnya saya.

Mujurlah pengalaman bertahun-tahun tinggal di negara Arab, memberikan banyak latihan kemahiran bergaduh dan berbalah. Mahu membeli bawang di kedai pun ada kalanya perlu dicapai melalui perbalahan!

“Habis kamu mahu saya katakan apa?” saya mengalah.

“Saya mahu Imam tulis surat kepada Islamic Cultural Centre of Ireland di Clonskeagh, arahkan semua masjid menarik balik semua terjemahan al-Quran yang ada banyak perkataan Muhammad seperti ini” Ali menjawab.

“Maksud kamu SEMUA?” saya menyoal.

“Ya, semua. Jika Imam tidak lakukan ia, saya akan menulis sendiri surat ke ICCI agar tindakan diambil. Harap jangan sampai saya bertindak sendiri!” Ali seakan-akan mengugut saya.

Demi Allah, saya kebingungan petang itu.

“Hentam sahajalah, Labu!” saya mengeluh di dalam Bahasa Malaysia.

“Apa Imam cakap?” Ali tidak faham kenyataan saya di dalam Bahasa Malaysia tadi.

“Smash the Pumpkin as you wish, O Ali!” saya memberikan terjemahan bebas untuk kefahaman beliau.

“Saya tidak faham maksud Imam” Ali marah dengan kenyataan saya.

“Tak apa. Pulanglah. Saya akan usahakan sedaya mungkin, Insya Allah” saya memujuk Ali.

“Saya mahukan janji. Awak Imam” Ali terus mendesak.

Saya mendiamkan diri.

“Kenapa diam?” Ali mendesak lagi.

Saya memilih untuk mengunci mulut.

Beliau akhirnya pulang meninggalkan masjid. Saya masih kebingungan di dalam pejabat. Mengurut dada dan beristighfar.

Kejadian ini mengheret ingatan saya kepada sebuah buku klasik bertajuk Arguing With Idiots oleh Glenn Beck. Ia memberikan pelbagai sketsa yang memeningkan tentang betapa rumitnya untuk kita keluar daripada belenggu perdebatan yang sudah hilang hujung pangkalnya.

Lalu, diam itu jugalah penyelesaian paling sejahtera untuk menjernihkan keadaan.

Teringat saya kepada sebuah peristiwa di zaman Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

Sa’eed bin Musayyeb berkata: Pada suatu ketika, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam duduk-duduk bersama dengan para Sahabat. Muncul seorang lelaki lalu dia mencela dan memaki hamun Abu Bakr radhiyallahu ‘anhu hingga menyebabkan Abu Bakr ’sakit’ mendengarnya. Tetapi Abu Bakr terus mendiamkan diri. Lelaki itu meneruskan lagi celaan dengan bahasa yang lebih kasar terhadap Abu Bakr, namun beliau masih terus mendiamkan diri. Masuk kali ketiga, apabila lelaki itu terus menyakiti Abu Bakr dengan lisannya, Abu Bakr bingkas mahu menjawab balik.

Lalu Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bangun. Abu Bakr radhiyallaahu ‘anhu bertanya: apakah engkau marah denganku wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Tidak. Cuma semasa kamu mendiamkan diri, Malaikat turun dari Langit bertindak terhadap kata-kata lelaki itu. Tetapi sebaik sahaja kamu mula membalas cacian lelaki itu, Malaikat melarikan diri lalu Syaitan datang dan duduk. Aku tidak boleh duduk di tempat yang Syaitan duduk di situ.” [ Hadith riwayat Abu Dawud]

Diam bukan mengalah.

Ia cara mencari Rahmah.

Mendekatkan diri kepada Allah.




by ABU SAIF @ www.saifulislam.com