Sunday, November 1, 2009

HADIS AL-IFKI (TUDUHAN PALSU) SUATU PENGAJARAN

Bismillahirrahmanirrahim.

Al-hamdulillah, wassolatu wassalamu ‘ala rasulillah wa‘ala aalihi wasahbihi ajma‘in.

Marilah bersama kita merenung kembali satu peristiwa besar yang begitu menyayatkan hati, yang telah menimpa rumahtangga Rasulullah SAW. Ini ialah salah satu perancangan jenayah yang telah dilakukan oleh golongan munafiqin.

Apabila golongan ini merasakan sudah tiada lagi jalan untuk menewaskan Islam dengan cara berhadapan, samada secara berperang atau lainnya, lalu mereka mula menukar strategi perjuangan mereka.

Ini selepas Islam mendapat kemenangan yang besar -dengan pertolongan Allah- dalam peperangan Badar pada tahun 2H dan pukulan yang sengit juga menimpa mereka dengan tewasnya tentera Ahzab (Khandak) pada tahun 5H. Walaupun tentera mereka begitu ramai dan disertai oleh golongan Yahudi, Quraisy, Arab Badwi dan lain-lain, sehingga dengan kemenangan ini, Rasulullah SAW telah bersabda:

Maksudnya: “Sekarang kita akan keluar menyerang mereka, sebaliknya mereka tidak akan datang lagi untuk menyerang kita (Madinah)”. [Sahih Al-Bukhari No. 4110].

Golongan munafiqin memainkan peranan untuk memecah-belahkan perpaduan umat Islam. Mereka cuba mengadakan huru hara dalam masyarakat yang aman damai dengan pelbagai helah dan tipu muslihat. Ini agar umat Islam sentiasa berada dalam keadaan gelisah dan keluh kesah sehingga mereka tidak dapat menumpukan sepenuh usaha dan perhatian kepada islah mujtama', membaikpulih kerosakan yang berlaku dalam masyarakat dan menyebarkan dakwah Islamiah.

Kejadian yang amat memedihkan ini berlaku sekembalinya Rasulullah SAW dari serangan yang dilakukan terhadap bani al-Mustaliq (المصطلق)

Pada bulan Sya'ban tahun 06H, bani al-Mustaliq telah mengadakan satu komplot untuk menyerang Rasulullah SAW. Setelah berita ini sampai kepada Rasulullah SAW, Baginda keluar bersama tentera Islam. Turut keluar bersama tentera muslimin ini ramai golongan munafiqin, ini kerana mereka tahu Islam akan mendapat kemenangan. Mereka keluar bukan untuk berperang, tetapi untuk mendapat habuan perang ( ghanimah ).

Tentera Islam dan bani al-Mustaliq bertemu di suatu tempat bernama al-Muraisi' (المريسيع) , di mana tentera Islam telah mengalahkan mereka dengan mudah. Dalam perjalan pulang, golongan munafiqin yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai bin Salul, telah cuba mengapi-apikan kabilah Ansar dan Muhajirin, untuk melagakan dua golongan Islam ini, tetapi api fitnah ini dapat dipadamkan oleh Rasulullah SAW.

Telah menjadi kebiasaan Rasulullah SAW, apabila keluar bermusafir Baginda akan mengadakan undian di antara para isterinya, siapakah yang akan mengiringi Baginda dalam musafir itu. Demikianlah sunnah Rasulullah SAW mengajar umatnya supaya berlaku adil terhadap semua isteri. Dalam peperangan ini, yang terpilih adalah Ummul Mukminin Aisyah RA, seorang yang masih muda dan berbadan kecil.

Setelah tiba di suatu tempat berhampiran Madinah, Rasulullah SAW bersama para sahabatnya telah berhenti rehat. Ketika ini, Siti Aisyah telah keluar untuk menunaikan hajat di suatu tempat yang terselindung daripada pandangan tentera Islam. Setelah selesai, beliau kembali ke tempat sekedup untanya dan mendapati rantai lehernya telah terjatuh tanpa disedari. Maka beliau terus kembali ke tempat tadi untuk mencarinya.

Pada waktu yang sama, tentera Islam telah diperintahkan supaya meneruskan perjalanan ke Madinah. Pemandu unta Aisyah menyangka beliau telah berada di atas sekedupnya dan terus menariknya serta meneruskan perjalanan.

Setelah Aisyah kembali ke tapak perkhemahan, beliau mendapati rombongan tentera telah berangkat tanpanya. Maka beliau terus berkelubung dengan hijabnya dan duduk menunggu di tempat untanya tadi, mudah-mudahan akan datang orang mencarinya selepas ini. Dalam keadaan cemas itu beliau menangis sehingga tertidur.

Kemudian datanglah Sofwan bin al-Mu‘attal al-Sulami yang berada di bahagian belakang rombongan, yang tugasnya memang mencari dan melihat apa-apa yang tercicir atau tertinggal. Setelah melihat seorang perempuan di tepi jalan, beliau begitu terkejut dan terus ber istirja' , iaitu menyebut kalimah “ Inna Lillahi Wainna Ilaihi Raji‘uun ” [ إنا لله وإنا إليه راجعون ] dan lebih-lebih lagi apabila beliau mengenali Siti Aisyah sebelum turunnya ayat Hijab.

Tanpa berkata sepatah pun, Sofwan merendahkan untanya untuk dinaiki Aisyah dan berliau berjalan membuntuti unta tersebut. Aisyah RA berkata: “Kami tidak bercakap walau sepatahpun kecuali istirja' Sofwan.” Akhirnya mereka tiba ke tempat rombongan tentera Islam tadi.

Apabila melihat Aisyah tiba bersama Sofwan, maka golongan munafiqin yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai melihat ini sebagai satu peluang keemasan untuk menabur fitnah jahat mereka. Mulalah mereka membuat cerita kononnya Aisyah telah berlaku curang dengan Sofwan. Malangnya tuduhan jahat ini juga telah termakan oleh sesetengah orang Islam sendiri sehingga ada yang menjadi ‘pembawa mulut', menyebar fitnah ini. Sebahagian yang lain pula mengambil sikap berkecuali dan mendiamkan diri sahaja.

Setelah tiba di Madinah, telah tersebar ‘ Hadis Ifki ' (tuduhan jahat) ini. Rasulullah SAW sendiri diam tidak bercakap, menantikan wahyu. Baginda juga telah bertanya pendapat beberapa orang sahabat, ada yang mengatakan ceraikan sahaja Aisyah dan ada pula yang membelanya. Wahyu pula tidak turun kepada Rasulullah SAW hampir sebulan. Ini adalah untuk menguji keimanan kaumnya dan untuk menzahirkan golongan munafiqin.

Setelah Aisyah RA mendengar berita tersebut, beliau menangis sehingga kekeringan air matanya, tidak dapat mengeluarakan air mata lagi dan tidak dapat tidur keduanya. Kata Aisyah: “Aku menyangka tangisanku akan memusnahkan kehidupanku.”

Hampir sebulan berada dalam keadaan demikian, pada suatu hari, datanglah Rasulullah SAW ke rumah isterinya Aisyah bersama ayah dan ibunya. Baginda SAW bersabda kepada Aisyah yang sedang asyik menangis:

Maksudnya: ((Wahai Aisyah, sekiranya engkau suci daripada tuduhan ini, nescaya Allah akan membebaskan engkau, sekiranya engkau tersasar, maka beristighfarlah, sesungguhnya sekiranya seorang hamba itu bersalah kemudian dia mengakui dan bertaubat, pasti Allah SWT akan menerimanya.))

Setelah mendengar sabda Rasulullah SAW tersebut, Aisyah berhenti menangis dan meminta supaya ibu bapanya menjawab bagi pihaknya, tetapi mereka tidak tahu apa yang harus diucapkan. Beliau lalu menjawabnya sendiri dengan berkata: “Keringlah airmataku kerana aku tahu tentang diriku. Kalau aku berkata aku dipihak yang benar, dan Allah mengetahui perkara yang sebenarnya, tetapi pasti kamu tidak akan mempercayainya. Tetapi sekiranya aku mengakui sesuatu yang Allah tahu aku adalah suci darinya, kamu akan mempercayainya. Maka tiada apa bagi aku dan kamu kecuali apa yang diucapkan oleh bapa nabi Yusuh AS :

Maksudnya: {Maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku). Dan Allah sajalah yang dimohon pertolongan-Nya terhadap apa yang kamu ceritakan.} [Yusuf: 18].

Aisyah RA kemudiannya berpaling dan berbaring untuk berehat. Pada waktu inilah turunnya ayat yang membebaskan Aisyah RA dari segala tuduhan yang tohmahan dan fitnah ke atasnya. Ia juga menjanjikan hukuman terhadap golongan yang menuduhnya. Ini dapat kita baca sehingga ke hari ini di dalam surah An-Nur:

Maksudnya: {Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar.} [An-Nur: 11].

[Lihat: Tafsir Ibnu Kathir]

Demikianlah secara ringkas kisah fitnah yang dilemparkan ke atas keluarga Rasulullah SAW.

Cuba kita bayangkan betapa besarnya jenayah yang dilakukan oleh si munafiqin Abdullah bin Ubai dan para pengikutnya.

1. Bayangkan bagaimana keadaan Rasulullah SAW sebagai seorang nabi dan rasul. Seorang pemimpin, dituduh isterinya yang disayangi sedemikian rupa, dikotori tempat tidurnya, dicemari kehormatan rumahtangganya dengan tuduhan liar sehingga menjadi buah mulut percakapan orang serata tempat selama sebulan. Sedangkan Baginda tidak tahu apa yang hendak dibuat dalam kes ini.
2. Lihat pula bagaimana keadaan Abu Bakar as-Siddiq RA seorang yang benar dalam semua perkara, seorang yang dihormati dalam masyarakat, anaknya dituduh sedemikian rupa, sehingga keluar keluhan dari mulutnya, satu ucapan yang membayangkan satu penyeksaan yang ditanggungnya.
3. Juga Ummu Ruman, isteri Abu Bakar yang setia, ibu yang baik, anaknya ditinpa tuduhan palsu yang jahat. Sedangkan telah diasuhnya dengan penuh kasih sayang dan adab yang sopan.
4. Bagaimana pula perasaan orang yang dituduh, Aisyah binti as-Siddiq, perempuan yang cukup menjaga kehormatan diri, isteri yang patuh dan setia, isteri Rasulullah SAW, penghulu segala nabi. Dia dilempar dengan tuduhan yang sangat kejam, yang tidak berperikemanusiaan dan tidak ada siapa yang membelanya, menanggung azab sengsara seorang diri sebulan lamanya. Tidak ada teman hidupnya kecuali tangisan dan airmata. Berserah diri sepenuhnya kepada Allah, mengharapkan pertolongan dan bantuan, setelah terputusnya bantuan dari manusia. Betapa azabnya seorang isteri yang masih muda, menanggung azab seorang diri, sedangkan suami sendiri kelu lidah dalam perkara ini.
5. Betapa pula tersiksanya seorang mujahid yang berjuang menegakkan Islam dengan penuh ikhlas, Sofwan bin al-Mu'attal RA. Beliau telah ditohmah dengan satu jenayah yang besar, dituduh mengkhianati Rasulullah SAW yang dicintai dan dihormati, dengan mengadakan hubungan dengan isterinya.
6. Akhirnya bayangkan bagaimana keadaan masayarakat Islam pada masa itu, semua berada dalam keadaan keluh kesah tidak tenteram dan berpecah sesama sendiri dalam kes ini.

Demikian betapa besarnya jenayah membuat tuduhan palsu dan mengadakan berbagai cara untuk memporak perandakan ketenangan dan kedamaian umat Islam.

Peranan munafiqin dulu dan sekarang tidak akan terhenti merancang untuk menyusahkan umat Islam. Merek tidak mahu melihat Islam mendapat kemenangan dan umatnya bersatu padu membina negara dan mencapai kemajuan akhirnya.

Bagaimanakah sikap umat Islam dalam menerima berita dan apakah sikap kita terhadap pernacangan jahat golongan munafiqin?

Firman Allah SWT:

Maksudnya: {Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.} [Al-Hujuraat: 6] .

Pengajaran dari ayat ini, hendaklah kita berhati-hati ketika menerima satu-satu berita dan mengkajinya samada ia adalah satu berita yang benar atau satu fitnah.

Sekiranya kita menerima sesuatu berita secara bulat-bulat tanpa usul periksa nescaya ia akan memudharatkan masyarakat Islam.

Sayangnya pada hari ini, kebanyakan orang Islam bukan sahaja menerima berita secara membabi buta dan terus menghukum seseorang itu dengan apa yang didengarinya bahkan menjadi penyebar kepada berita palsu itu, sehingga perbuatan itu menambahkan penderitaan kepada orang yang difitnah dengan berita palsu tersebut serta mengucar-kacirkan masyarakat umum.

Oleh itu apabila menerima sesuatu berita, para muslimin hendaklah bersangka baik sesama mereka dan tidak mempercayai sesuatu yang tidak pasti apatah lagi menyebarkannya pula.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: {Mengapa pada waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: "Ini adalah suatu berita bohong yang nyata." Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita bohong itu? Oleh kerana mereka tidak mendatangkan saksi-saksi maka mereka itulah pada sisi Allah orang- orang yang dusta.} [An-Nur: 12-13].

Allah SWT memberi amaran agar jangan bercakap sebarangan membuat ulasan, mungkin kita menyangka isu yang diulas adalah perkara biasa atau remeh tapi dosanya sangat besar di sisi Allah SWT:

Maksudnya: “(Ingatlah) di waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. padahal dia pada sisi Allah adalah besar.” [An-Nur: 15]

Akhirnya, umat Islam hendaklah menjaga lidah daripada menjadi penyebar fitnah atau pembawa berita palsu, kerana semua perbuatan dan perkataan kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah azza wajalla pada hari Kiamat, firman Allah SWT yang bermaksud: { Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan dipertanggunganjawabkannya.} [Al-Isra': 36]

Sabda Nabi SAW:

Maksudnya: Berkata Abdullah bin Umar, Rasulullah SAW menaiki mimbar dan bersabda dengan suara yang kuat: “Wahai golongan yang masuk Islam dengan lidahnya, tetapi imannya belum sampai ke hatinya (munafiqin), jangan kamu menyakiti kaum muslimin, jangan menghina mereka, jangan juga mencari keaiban mereka, sesungguhnya sesiapa yang bekerja mencari keaiban saudaranya yang muslim, Allah akan mencari keaibannya dan sesiapa yang dicari keaibannya oleh Allah, Allah akan mendedahkannya walaupun (tersembunyi) di dalam rumahnya (kenderaannya).”

Pada suatu hari, Ibnu Umar memandang ke arah Ka'bah, kemudian beliau berkata: Sungguh besar kedudukan dan kemuliaanmu, tetapi lebih besar lagi kehormatan orang mukmin itu di sisi Allah daripada kamu. [HR Tirmizi].

Semoga Allah SWT menyelamatkan tangan dana lidah kita daripada perkara yang tersebut.


Akhukum:
Abu Anas Madani,
www.abuanas.com .
9 Julai 2008.



Sumber :

Tafsir Ibnu Kathir.
Ar-Rahiq al-Makhtum.
Majalah Suara Madinah –sessi 1994-1995.

PEMBUKA LORONG KEPADA NERAKA

Allah SWT mengingatkan mengenai kejayaan sebenar seorang hamba iaitu apabila ia telah selamat dari azab neraka dan dimasukkan ke dalam syurga. Firman Allah SWT:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ

Yang bermaksud : "Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. dan Sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, Maka sungguh ia telah beruntung. kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan." (Surah Ali Imran, ayat 185)

Ayat ini jelas menyatakan bahawa kejayaan yang sebenar bukanlah apabila seseorang itu mendapat harta yang bertimbun-timbun, tidak juga apabila memenangi pilihan raya, dan apa jua kemegahan yang manusia dambakan di dunia. Tetapi kejayaan yang sebenar ialah apabila manusia dapat menyelamatkan diri daripada api neraka dan sekali gus melayakkan diri untuk menghuni syurga Allah SWT. Inilah kejayaan yang besar. Sesungguhnya kejayaan inilah yang benar-benar didambakan oleh manusia apabila tibanya mereka di hadapan Allah SWT.

Sesungguhnya akan tiba juga saat di mana penghuni neraka akan mengemis setitis air daripada penghuni syurga yang barangkali penghuni syurga inilah golongan yang sering kali mereka tindas dan keji ketika berada di dunia. Firman Allah SWT :

وَنَادَى أَصْحَابُ النَّارِ أَصْحَابَ الْجَنَّةِ أَنْ أَفِيضُوا عَلَيْنَا مِنَ الْمَاءِ أَوْ مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَهُمَا عَلَى الْكَافِرِينَ

Yang bermaksud : "Dan penghuni neraka menyeru penghuni syurga: " limpahkanlah kepada kami sedikit air atau makanan yang Telah dirizkikan Allah kepadamu". mereka (penghuni surga) menjawab: "Sesungguhnya Allah Telah mengharamkan keduanya itu atas orang-orang kafir." (Surah al-A’raf: 50)

Lantas apakah sebab-sebab yang menjerumuskan seseorang itu ke dalam neraka. Ketahuilah, sesungguhnya penghuni neraka itu terbahagi kepada dua golongan yang memasuki neraka kerana sebab-sebabnya yang tersendiri. Kategori pertama ialah mereka yang akan menghuni neraka buat selama-lamanya. Mereka ialah :

1. Orang-orang yang syirik kepada Allah SWT samada dari sudut uluhiyah, rububiyah atau sifat. Tidak ada ruang kemaafan bagi golongan seperti ini apabila berdepan dengan Allah SWT. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT :

إِنَّهُ مَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنْصَارٍ

Yang bermaksud : "Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, Maka pasti Allah mengharamkan kepadanya surga, dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolongpun." (Surah al-Maidah, ayat 72)

2. Kufur sama ada kepada Allah SWT, malaikat, para rasul, hari kiamat, kitab-kitab Allah atau qadha’ dan qadr daripada Allah SWT. Mengkufurkan salah satu daripada perkara-perkara ini dianggap sebagai menolak satu satu asas iman. Firman Allah SWT :

إِنَّ الَّذِينَ يَكْفُرُونَ بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ وَيُرِيدُونَ أَنْ يُفَرِّقُوا بَيْنَ اللَّهِ وَرُسُلِهِ وَيَقُولُونَ نُؤْمِنُ بِبَعْضٍ وَنَكْفُرُ بِبَعْضٍ وَيُرِيدُونَ أَنْ يَتَّخِذُوا بَيْنَ ذَلِكَ سَبِيلًا* أُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ حَقًّا وَأَعْتَدْنَا لِلْكَافِرِينَ عَذَابًا مُهِينًا

Yang bermaksud : "Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada Allah dan rasul-rasul-Nya, dan bermaksud membezakan antara (keimanan kepada) Allah dan rasul-rasul-Nya, dengan mengatakan: "Kami beriman kepada yang sebahagian dan kami kafir terhadap sebahagian (yang lain)", serta bermaksud (dengan perkataan itu) mengambil jalan (tengah) di antara yang demikian (iman atau kafir), merekalah orang-orang yang kafir sebenar-benarnya. kami Telah menyediakan untuk orang-orang yang kafir itu siksaan yang menghinakan." (Surah an-Nisa’, ayat 150-151)

3.

Mengingkari kefardhuan salah satu daripada rukun-rukun Islam dengan menyatakan bahawa ia tidak diwajibkan oleh Allah SWT. Demikian juga dengan mengingkari pengharaman perkara-perkara yang jelas haram melalui nas yang sahih serta ijma’ muslimin seperti mengingkari pengharaman zina, arak, mencuri dan sebagainya. Mengingkari kefardhuan dan pengharaman yang jelas ini boleh menyebabkan seseorang terkeluar daripada Islam. Namun sekiranya ia mengingkari dengan sebab kejahilannya semata-mata, ia masih belum dikategorikan sebagai keluar daripada Islam.
4. Pempermainkan ketetapan atau apa jua yang berkaitan dengan Allah SWT samada dalam bentuk kata-kata atau perbuatan. Pelakuan ini boleh menyebabkan tergelincirnya aqidah dan menjadi pelorong untuk terjun selama-lamanya di dalam neraka. Firman Allah SWT :

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنْتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ* لَا تَعْتَذِرُوا قَدْ كَفَرْتُمْ بَعْدَ إِيمَانِكُمْ إِنْ نَعْفُ عَنْ طَائِفَةٍ مِنْكُمْ نُعَذِّبْ طَائِفَةً بِأَنَّهُمْ كَانُوا مُجْرِمِينَ

Yang bermaksud : "Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu), tentulah mereka akan manjawab, "Sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main saja." Katakanlah: "Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan rasul-Nya kamu selalu berolok-olok?" Tidak usah kamu minta maaf, Karena kamu kafir sesudah beriman. jika kami memaafkan segolongan kamu (lantaran mereka taubat), niscaya kami akan mengazab golongan (yang lain) disebabkan mereka adalah orang-orang yang selalu berbuat dosa." (Surah at-Taubah, ayat 65-66)

5. Mencela Allah SWT, agama yang diturunkanNya atau nabiNya. Samada ia dilakukan dengan iktikad atau hanya sekadar permainan kata sahaja, ia tetap dikira sebagai satu dosa yang besar. Bahkan menyebabkan orang lain mencela Allah SWT pun ditegah apatah lagi sekiranya diri sendiri yang mencela. Firman Allah SWT

وَلا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

Yang bermaksud : "Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan." (Surah al-An’am, ayat 108)

6. Menghukum dengan selain daripada hukum Allah dengan keyakinan bahawa hukum manusia lebih baik daripada hukum Allah SWT. Firman Allah :

وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ

Yang bermaksud : "Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, Maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir." (Surah al-Maidah, ayat 44)

Adapun golongan yang tidak berhukum dengan hukum Allah kerana kejahilan atau kepentingan tertentu dengan tetap yakin bahawa hukum Allah jualah yang terbaik tidaklah tergolong sebagai golongan yang terkeluar daripada Islam. Namun ia tidak dimasukkan ke dalam golongan fasik atau zalim berdasarkan firman Allah dalam dua ayat selepasnya.

7. Orang-orang munafik iaitu yang menzahirkan Islam tetapi kufur di dalam hati mereka. Golongan ini lebih merbahaya daripada orang-orang kafir itu sendiri. Firman Allah SWT :

إِنَّ الْمُنَافِقِينَ فِي الدَّرْكِ الْأَسْفَلِ مِنَ النَّارِ وَلَنْ تَجِدَ لَهُمْ نَصِيرًا

Yang bermaksud : "Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolongpun bagi mereka."

Demikianlah sebahagian golongan yang akan menghuni neraka selama-lamanya. Manakala kategori kedua pula ialah golongan yang menghuni neraka dengan sementara. Mereka ini ialah orang-orang Islam yang sempurna akidahnya tetapi bergelumang dengan dosa-dosa yang tidak diampunkan melainkan perlu dihukum di dalam neraka terlebih dahulu. Tempoh masa menjalani hukuman tersebut hanya diketahui oleh Allah SWT. Walaupun hanya sementara, tetapi hukuman ini tetap merupakan satu hukuman yang berat dan menyiksakan. Di antara golongan yang disebut sebagai penghuni neraka sementara itu ialah :

1. Penderhaka kepada kedua ibubapa. Di dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari berbunyi :

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ جَاءَ أَعْرَابِيٌّ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا الْكَبَائِرُ قَالَ الْإِشْرَاكُ بِاللَّهِ قَالَ ثُمَّ مَاذَا قَالَ ثُمَّ عُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ

Yang bermaksud : "Daripada Abdullah bin Umar RA berkata datang seorang badwi kepada Nabi SAW lalu bertanya, wahai Rasulullah, apakah dia dosa-dosa besar? Rasulullah SAW menjawab, syirik kepada Allah. Dia bertanya lagi, kemudian apa? Rasulullah SAW menjawab, menderhakai kedua ibubapa." (Hadis riwayat Bukhari)

2. Memutuskan hubungan silaturrahm. Ini juga dianggap sebagai dosa yang serius kerana boleh mengakibatkan hururara yang berpanjangan di dalam masyarakat. Nabi SAW bersabda :

لا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ قَاطِعٌ

Yang bermaksud : "Tidak masuk syurga orang yang memutuskan (silatturahm)." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Allah SWT juga berfirman :

فَهَلْ عَسَيْتُمْ إِنْ تَوَلَّيْتُمْ أَنْ تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ وَتُقَطِّعُوا أَرْحَامَكُمْ* أُولَئِكَ الَّذِينَ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فَأَصَمَّهُمْ وَأَعْمَى أَبْصَارَهُمْ

Yang bermaksud : "Maka apakah kiranya jika kamu berkuasa kamu akan membuat kerusakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan? Mereka Itulah orang-orang yang dila'nati Allah dan ditulikan-Nya telinga mereka dan dibutakan-Nya penglihatan mereka." (Surah Muhammad: 22-23)

Kadang-kadang ada di antara individu masyarakat yang hanya akan menyambung hubungan silaturrahm dengan orang yang berusaha menyambungkannya dengan mereka. Jila tiada inisiatif dari orang lain, maka dia sendiri tidak akan bergerak untuk memulakannya. Ini adalah satu sikap yang salah. Rasulullah SAW bersabda :

لَيْسَ الْوَاصِلُ بِالْمُكَافِئِ وَلَكِنْ الْوَاصِلُ الَّذِي إِذَا قُطِعَتْ رَحِمُهُ وَصَلَهَا

Yang bermaksud : "Tidaklah yang menyambungkan silaturrahm itu orang-orang yang merasa cukup dengan apa yang ada, tetapi yang menyambungkan itu ialah orang-orang yang apabila terputus hubungan, akan berusaha menyambungkannya." (Riwayat Bukhari, Abu Daud dan Ahmad)

3. Memakan riba yang dianggap satu perang kepada Allah dan RasulNya. Firman Allah SWT :

فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَإِنْ تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ

Yang bermaksud : "Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), Maka Ketahuilah, bahwa Allah dan rasul-Nya akan memerangimu. dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), Maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya." (Surah al-Baqarah: 279)

Firman Allah SWT lagi :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا الرِّبَا أَضْعَافًا مُضَاعَفَةً وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ* وَاتَّقُوا النَّارَ الَّتِي أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ* وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Yang bermaksud : "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan riba dengan berlipat ganda dan bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu mendapat keberuntungan. Dan peliharalah dirimu dari api neraka, yang disediakan untuk orang-orang yang kafir. Dan taatilah Allah dan rasul, supaya kamu diberi rahmat." (Surah ali Imran, ayat 130-132)

4. Makan harta anak yatim sebagaimana firman Allah SWT :

إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَالَ الْيَتَامَى ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًا

Yang bermaksud : "Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka)". (Surah an-Nisa’ ayat 10)

5. Penyaksian bohong. Ini kerana penyaksian seorang mukmin ialah sesuatu yang mulia. Maka mencemarkan kemuliaan ini dianggap sebagai satu dosa yang serius. Oleh yang demikian hendaklah setiap mukmin berhati-hati memberikan penyaksian terhadap apa jua perkara samada penyaksian berbentuk kata-kata atau tulisan. Rasulullah SAW bersabda :

لَنْ تَزُولَ قَدَمَا شَاهِدِ الزُّورِ حَتَّى يُوجِبَ اللَّهُ لَهُ النَّارَ

Yang bermaksud : "Tidak akan berganjak kaki penyaksi yang bohong kecuali Allah akan mewajibkannya masuk ke neraka" (Riwayat Ibnu Majah dan al-Hakim dengan katanya, hadis ini sahih isnad)

6. Rasuah, khususnya dalam penghakiman agar memihak kepadanya sekalipun ia berada di pihak yang salah. Nabi SAW bersabda :

الرَّاشِي والْمُرْتَشِي فِي النّار

Yang bermaksud : "Orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah, berada di dalam neraka." (Riwayat Tabrani dengan perawi-perawi yang thiqat) Nasiruddin al-Bani menyatakan hadis ini dhaif namun beliau mensahihkan satu hadis lain iaitu : Allah SWT melaknat pemberi dan penerima rasuah.

7. Sumpah bohong khususnya yang mengkhianati hak orang lain. Nabi SAW bersabda :

مَنْ اقْتَطَعَ مَالَ امْرِئٍ مُسْلِمٍ بِيَمِينٍ كَاذِبَةٍ لَقِيَ اللَّهَ وَهُوَ عَلَيْهِ غَضْبَانُ

Yang bermaksud : "Sesiapa yang mengkhianati harta seseorang muslim dengan sumpah yang bohong, akan berjumpa dengan Allah SWT dalam keadaan Allah marah kepadanya" (Riwayat Bukhari dan Muslim)

8. Menghakimi sesuatu tanpa maklumat yang jelas atau dengan sikap memihak. Rasulullah SAW bersabda :

الْقُضَاةُ ثَلاثَةٌ وَاحِدٌ فِي الْجَنَّةِ وَاثْنَانِ فِي النَّارِ فَأَمَّا الَّذِي فِي الْجَنَّةِ فَرَجُلٌ عَرَفَ الْحَقَّ فَقَضَى بِهِ وَرَجُلٌ عَرَفَ الْحَقَّ فَجَارَ فِي الْحُكْمِ فَهُوَ فِي النَّارِ وَرَجُلٌ قَضَى لِلنَّاسِ عَلَى جَهْلٍ فَهُوَ فِي النَّارِ

Yang bermaksud : "Hakim itu ada tiga golongan. Satu golongan ke syurga dan dua golongan ke neraka. Adapun yang ke syurga ialah orang yang mengetahui kebenaran dan memutuskan dengannya. Kedua ialah yang mengetahui kebenaran tetapi melanggarnya maka ia ke neraka dan ketiga yang menghakimi dengan kejahilan, dia juga akan ke neraka." (Hadis riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah. Disahihkan oleh al-Albani)

9. Pemimpin yang menggunakan kuasa untuk menindas dan menipu rakyat berdasarkan kepada sabda Nabi SAW :

مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللَّهُ رَعِيَّةً يَمُوتُ يَوْمَ يَمُوتُ وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ إِلَّا حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ

Yang bermaksud : "Tidak ada mana-mana hamba yang diamahkan oleh Allah untuk menjaga rakyatnya lalu mati dalam keadaan ia membohongi rakyatnya kecuali Allah mengharamkannya untuk ke syurga." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Demikianlah sebab-sebab yang boleh menjerumuskan seseorang ke neraka. Marilah kita sama-sama berdoa agar dijauhi daripada sifat-sifat yang disebutkan di atas.





Ahmad Fadhli bin Shaari
B.A (Hons) Dakwah Islamiyyah, Univ. Al-Azhar, Mesir.
Penulis merupakan Ketua Jabatan al-Dakwah wal Qiadah
09 November 2008

BILAKAH RASULULLAH SAW BERHIJRAH KE MADINAH?

Setiap kali menjelangnya awal Muharram, kita semua akan diingatkan dengan peristiwa hijrah Rasul. Ini kerana peristiwa hijrah Rasul merupakan satu perkara yang sangat penting dalam sejarah, bukan sahaja kepada kita kaum muslimin, bahkan juga alam keseluruhannya. Betapa tidak, hijrah telah mengubah corak peradaban dunia. Dan kesannya masih boleh dilihat dan dikecapi sehingga hari ini.

Umat Islam telah menjadikan peristiwa hijrah Rasul sebagai permulaan tahun dalam kalendar Islam. Kerana itu, setiap kali tahun Islam disebut, ia akan dinyatakan dengan hijrah. Sebagai contoh: “tahun 1429H akan meninggalkan kita tidak lama lagi, dan tahun 1430H pula akan menyusul”. Huruf H yang diletakkan di hujung angka tahun itu adalah singkatan kepada hijrah, sebagaimana yang kita semua maklum.

Disebabkan permulaan tahun hijrah adalah pada bulan Muharram, mungkin ramai yang keliru dan menganggap bahawa hijrah Rasul berlaku pada 1hb Muharram. Sebenarnya hijrah Rasul bukanlah berlaku pada bulan Muharram, bahkan ia berlaku pada bulan Rabiul Awwal. Syeikh Sofyurrahman al-Mubarakfuri menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. meninggalkan rumah pada malam 27 Safar tahun ke 14 daripada kenabian. Ia bersamaan 12 atau 13hb September 622M. Kemudian, baginda bersembunyi di dalam gua selama tiga malam, iaitu malam Jumaat, Sabtu dan Ahad. Dan pada malam Isnin, 1 Rabiul Awwal, bersamaan 16 September 622M, baginda berdua beredar meninggalkan gua bersama dengan Abdullah bin Uraiqith, yang memandu jalan. Baginda sampai di Quba' pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal, tahun pertama Hijrah. Ia bersamaan dengan 23 September 622M. Baginda berada di Quba' selama empat hari, iaitu hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis. Pada hari kelima, iaitu hari Jumaat, 12 Rabiul Awwal, baginda sampai ke Madinah. (Ringkasan kitab ar-Rahiqul Makhtum, m/s 154-166).

Persoalannya, kenapakah hijrah dimulakan pada bulan Muharram, sedangkan hijrah Rasul berlaku pada bulan Rabiul Awwal? Sebenarnya, permulaan bilangan tahun hijrah, sekalipun dihitung bermula dengan hijrah Rasul, namun ia hanya bermula pada zaman pemerintahan Saidina Umar r.a. iaitu pada tahun ke 17 Hijrah. Ada juga yang menyatakan pada Rabiul Awwal tahun ke 16 hijrah (1). Sebelum dari tarikh tersebut, umat Islam sudahpun mempunyai nama-nama bulan, namun mereka tidak menentukan tahunnya.

Terdapat banyak faktor yang mendorong Saidina Umar menentukan tarikh, antaranya ialah kerana kerana Saidina Umar menerima satu surat tentang pengumpulan harta, dan ia bertulis pada bulan Sya'ban. Beliau bertanya: Sya'ban yang mana satu, Sya'ban yang lepas, atau Sya'ban sekarang, atau Sya'ban akan datang? Ada juga yang menyatakan bahawa orang pertama yang menulis tentang tarikh ialah Ya'la bin Umayyah r.a.. Beliau telah menulis surat dari Yaman, kepada Saidina Umar dengan menulis tarikh, dan Saidina Umar menganggap baik perkara tersebut, akhirnya beliau ingin memulakan penentuan tarikh. Antara faktornya juga ialah Abu Musa al-Asy'ari telah menulis satu surat kepada Saidina Umar, menyatakan bahawa telah sampai kepada beliau banyak surat-surat daripada Saidina Umar tanpa tarikh (dan ini boleh menimbulkan kekeliruan). Lalu Saidina Umar mengumpulkan para sahabat untuk membincangkan tentang penentuan tarikh.

Setelah Saidina Umar r.a. mengumpulkan para sahabat untuk menentukan permulaan tarikh, timbul empat cadangan dalam menentukan permulaan tahun Islam. Empat perkara tersebut ialah daripada tarikh kelahiran baginda, atau dari tarikh baginda dibangkitkan menjadi rasul, dari tarikh hijrah atau dari tarikh kewafatan baginda. Lalu akhirnya mereka sepakat untuk menjadikan hijrah Rasul sebagai asas permulaan tarikh Islam. Mereka tidak menjadikan tarikh kelahiran dan kebangkitan sebagai asas, kerana terdapat khilaf tentang bilakah kedua-dua peristiwa tersebut berlaku. Dan tarikh kewafatan pula, sekalipun jelas waktunya, adalah tidak sesuai dijadikan permulaan tarikh, kerana ia merupakan tarikh yang amat menyedihkan. Jadi tidak sesuai tarikh yang sedar diambil untuk diulang-ulangi sebutannya. Kerana itulah peristiwa hijrah adalah peristiwa yang paling sesuai untuk dijadikan asas permulaan tarikh. Kerana inilah, bila timbulnya pelbagai pendapat tentang bilakah asas yang sesuai untuk dimulakan tarikh, Saidina Umar menyatakan kata-katanya yang masyhur,

الهجرة فرقت بين الحق والباطل، فأرخوا بها

“ Hijrahlah yang membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Maka jadikanlah ia asas permulaan tarikh ”.

Berkata al-Imam as-Suhaili, para sahabat sebenarnya mengambil asas tahun hijrah berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah Ayat 108 yang bermaksud:

“ Sesungguhnya masjid yang diasaskan di atas ketaqwaan (Masjid Quba') sejak dari hari pertama adalah lebih patut kamu bersolat di dalamnya ”. Surah at-Taubah: 108. Terangnya lagi: “ Ini kerana sudah jelas bahawa hari tersebut bukanlah hari pertama yang sebenar (permulaan umur dunia). Bahkan hari pertama yang disandarkan kepada sesuatu yang tidak dinyatakan dalam ayat tersebut, iaitu zaman pertama kemenangan Islam, dan zaman pertama Nabi s.a.w. boleh beribadah dengan aman (tanpa sebarang gangguan) dan zaman permulaan pembinaan masjid ”. Kerana itulah sepakat para sahabat memulakan tahun Islam dengan tarikh hijrah, iaitu hari pertama Nabi s.a.w. dan para sahabat memasuki Madinah.

Dan setelah para sahabat sepakat untuk menjadikan peristiwa hijrah sebagai asas permulaan tahun Islam, mereka membincangkan pula, tentang dari bulan manakah kita akan mulakan perhitungan tahun. Maka timbullah pelbagai pendapat. Ada yang mencadangkan supaya dimulakan dengan rejab, dan ada pula dengan ramadhan. Namun Saidina Usman mencadangkan supaya dimulakan dengan bulan muharram. Antara alasannya ialah ia adalah bulan haram (bulan yang dihormati oleh masyarakat arab, kerana diharamkan berperang padanya), dan ia juga adalah masa kembalinya para jemaah daripada menunaikan ibadah haji. Dan antara sahabat yang juga mencadangkan bulan muharram ialah Saidina Umar dan Saidina Ali. Akhirnya, mereka telah memilih bulan muharram sebagai permulaan tahun hijrah, dan bukannya rabiul awwal. Dan antara sebab yang mungkin paling tepat kerana memilih bulan muharram dan bukannya bulan rabiul awwal ialah, kerana permulaan keazaman untuk berhijrah adalah pada bulan muharram. Ini kerana perjanjian Aqabah berlaku pada bulan zulhijjah. Dan perjanjian tersebutlah yang membawa kepada peristiwa hijrah. Dan bulan pertama yang muncul setelah zulhijjah ialah muharram, kerana itu sesuai dijadikan muharram sebagai bulan pertama, kalendar tahun umat Islam.

Inilah sebahagian fakta yang berkaitan dengan persoalan tarikh hijrah. Semoga fakta ini, sedikit sebanyak menghilangkan kekeliruan tentang persoalan bilakah sebenarnya berlaku peristiwa hijrah Nabi s.a.w. Hijrah sebenarnya mengingatkan kita tentang pengorbanan dan matlamat perjuangan umat Islam. Hijrah juga menginsafkan kita bahawa kita sentiasa bergerak menuju Allah SWT. Kerana itu kita sentiasa perlu menambahkan kebaikan dan amal soleh kita. Orang yang berhijrah adalah orang yang berusaha meninggalkan dosa-dosa dan maksiat. Dan perkara itu tidak akan tercapai melainkan dengan keazaman yang tinggi. Sama-samalah kita berhijrah kerana Allah untuk sampai kepada Allah. Dan ingatlah bahawa orang yang berhijrah sentiasa memerlukan bimbingan Allah dalam hijrahnya menuju Allah. Hijrah bukan kerana Allah adalh sia-sia,dan hijrah tanpa bimbingan Allah, tidak akan sampai ke destinasinya.

• Sumber utama artikel ini ialah kitab Fathul Bari, Syarah Sohih Bukhari. (Kitab Manaqib al-Ansar, bab at-Tarikh, juz 7, m/s 341, 342).

(1) Berdasarkan peristiwa ini, kita berpendapat bahawa fadhilat yang dinyatakan dalam membaca doa awal tahun dan doa akhir tahun adalah palsu. Ini kerana pada zaman baginda, belum ditentukan lagi permulaan tahun. Dan tiada yang boleh menyatakan fadhilat seseuatu kecuali Allah dan rasulNya. Dan sesungguhnya agama Islam itu sudah sempurna. Dan amalan tersebut tiada dijumpai asasnya dalam kitab-kitab hadis.



Maklumat Penulis:

Tuan Mohd Sapuan Tuan Ismail
Sarjana Muda Syariah & Pengajian Islam, Univ. Mu'tah, Jordan.
tasekpauh.blogspot.com
UPI, KIAS
0136353463

SEJARAH RINGKAS IBNU KHALDUN: SARJANA MUSLIM SEPANJANG ZAMAN

Disediakan oleh:
Wazi bin Othman
Pensyarah KIAS



Nama beliau ialah Waliuddin Abu Zaid Abdul Rahman ibn Khalid ibn al-Khattab yang dikenali sebagai ibn Khaldun adalah seorang tokoh besar yang lahir pada abad ke 8H yang menjadi pencetus kepada perkembangan pelbagai sumber ilmu pengetahuan. Beliau dilahirkan dalam keluarga yang berlatarbelakangkan ulama' dan umara' pada tahun 1332 M di Tunisia.

Beliau memulakan pengajian di bawah seliaan bapanya sendiri dengan pelbagai cabang disiplin ilmu. Kemudian beliau beralih pula kepada disiplin ilmu logik dan falsafah. Selepas itu beliau mula terjun dalam kancah politik secara langsung berdasarkan hubungan yang sangat erat dengan keluarga Sultan Maghribi. Selepas tiga tahun belau memegang jawatan dalam kerajaan beliau telah berpondah ke Bandar Fes Tunisia dan ke Granada . Selepas lama merantau beliau memilih untuk mengasingkan diri di maghiribi dengan bani al-Arif. Di sinilah beliau mula menghasilkam karyanya yang agung “ Mukaddimah ” yang menjadi rujukan sarjana Timur dan Barat.

Mukaddimah merupakan juzuk pertama dari karyanya “ al-Ibar “ yang membincangkan sejarah tamadun manusia serta perkembangannya. Buku ini menunjukkan kepada kita betapa luasnya ilmu yang dimilikinya di mana karya Mukaddimah ini diadun dengan pengalamannya semasa memegang jawatan dalam kerajaan dalam pelbagai jurusan dan pengembaraan ilmu. Sebab itulah kita dapati karya ini sangat teliti penulisannya. Beliau amat dikenali sebagai pengasas kepada ilmu sosial yang masih dikaji oleh para interlektual hingga ke hari ini. Menurut pandangannya, masyarakat yang kurang maju dari sudut sosio masyarakatnya lebih bersifat fanatik perkauman berbanding masyarakat yang maju yang jarang kedengaran berlakunya sentimen perkauman. Begitu juga dalam soal pendidikan yang dapat membentuk peribadi masyarakat madani boleh dibentuk dengan banyak mencontohi tokoh-tokoh ilmuan yang terkenal sebagai sumber inspirasi dan motivasi diri.

Beliau boleh dianggap sebagai sarjana penamat yang lahir pada zaman klasik. Sumbangannya dalam bidang kemasyarakatan tiada tolak bandingnya. Beliau wafat pada tahun 807 H/1406 M di Kaherah Mesir.