Tuesday, September 15, 2009

Kedatangan Ramadhan di rindui pemergiannya di ingati

Ramadhan datang dan pergi dengan cepat dirasai.Seluruh para syaitan dan iblis galak menunggu di lepaskan.Tak sabar lagi untuk menggoda dan menakluk hamba-hamba Allah ke arah kebinasaan neraka bersama-sama mereka.Namun hamba Allah tetap gembira,lega,dan tak sabar menunggu perayaan.

Mungkin itulah yang kita dilatih sejak kecil lg bila raya dapat duit tak perlu puasa lagi horrey horrey....ish ish...NAmun berapa orang hamba Allah yg memikirkan sejauhmanakah penerimaan puasa dan ibadat mereka sepanjang bulan puasa.

Adakah niat kita utk katam Quran tercapai?solat terawaih setiap malam?dapat buat tahajjud berape banyak?mungkin kita fikir alah ni sunat je bukan bayak pahala pun nauzubillah....aku buat by prkra besar lg... apa dia?betul ke kita buat dengan baik?tidakkah kita diajar bermula dengan kecil sesuai dengan kita.Bolehkah kita dpt kemenangan dengan mudah jika perkara yg dianggap kecil ni kita biarkan...

Kita sedia maklum panglima perang Salib pihak Islam pada ketika itu Salahuddin Ayyub memeriksa setiap askar n pejuang Islamnya pada waktu malam semata-mata untuk melihat sejauhmanakah hubungan mereka dengan pencipta dan pemilik segala sesuatu Allah rabbuljalil.Apa kecil lagikah perkara sunat ni?Askarnya yang tidak solat malam tidak dibenarkan berperang bersama-sama...Nah apa lagi yg kita nk bangggakan...

Bukanlah yang menulis ni baik dan sentiasa melakukan perkara sunat...namun kita semua pejuang Islam harus sedar dengan perkara ini....penulis berpesan kepada diri sendiri yg dhaif ini dan sahabat yang sentiasa berpenat-lelah untuk memastikan kemenangan Islam tertegak di setiap pelusuk dan ceruk tempat di bumi Allah ni untuk kita bermuhasabah sempena pemergian Ramadhan al-Mubarak dan sebelum kita menyambut kemenangan adakah Allah menerima amalan kita ni?

Akhir tinta marilah sama-sama beristigfar dan bermunajat kepada Allah dengan setiap dosa yang kita lakukan yang menghalang ibadat kita diterima Allah dan segala perjuangan kita diberi petunjuk dan jalan yang lurus demi kemenangan Islam serta pertolongan yang berterusan dari maha Besar....Takbiiiir!!!!!Takbiiiiir!!!!


sekian siru 'Ala barakatillah...

Thursday, September 3, 2009

FAHAMAN WAHHABI

Fahaman Wahhabi merupakan satu gerakan yang bertujuan untuk memurnikan perilaku umat Islam yang telah menyimpang daripada tuntutan agama yang sebenar. Ia mula diperkenalkan oleh Muhammad bin Abdul Wahab pada abad ke-18 di Semenanjung Arab. Fahaman keagamaan ini menyarankan agar kaum Muslim kembali kepada ajaran Islam murni seperti yang termuat dalam al-Quran dan Sunnah.

Melihat kaum Muslim pada zamannya sudah banyak menyimpang, Abdul Wahab menekankan kembali ajaran tauhid dan mengecam keras perlakuan yang mengotori kesucian tauhid seperti tawassul (doa dengan perantaraan orang atau benda supaya cepat makbul), ziarah kubur dan bidaah. Fahaman keagamaan ini kemudian berkembang menjadi gerakan sosial dan politik ketika Abdul Wahab bersekutu dengan Muhammad bin Sa’ud atau Ibnu Sa’ud, pemimpin dari Dinasti Sa’ud. Pada awal abad ke-20, persekutuan itu berhasil mendirikan negara Arab Saudi, yang menerapkan Wahhabi sebagai fahaman rasmi negara.

Abdul Wahab pengasas fahaman Wahhabi, lahir pada tahun 1703 di Nejd. Dia mendapat pendidikan agama dan belajar di Madinah. Setelah itu, Abdul Wahab meneruskan pengajian ke Suriah (Syria), Iraq, Kurdistan dan Parsi. Dia kembali ke Tanah Arab dan mula menyebarkan fahaman Islam yang murni, iaitu meyerukan agar kaum Muslim kembali kepada ajaran Islam seperti dalam al-Quran dan hadis. Ketika menetap di Daryah, dia menjadi pemimpin agama Dinasti Sa’ud. Pada masa itu, Dinasti Sa’ud merupakan sebuah kuasa tempatan yang sedang berusaha melebar dan memperluaskan pengaruh. Abdul Wahab telah mengambil kesempatan menandatangani satu `perjanjian kerjasama’ dengan Ibnu Sa’ud. Abdul Wahab dan para pengikutnya akan menyokong usaha Dinasti Sa’ud untuk memperluaskan pengaruh mereka.

Sebagai balasan, Dinasti Sa’ud akan menyebarkan ajaran Islam mengikut fahaman Abdul Wahab. Usaha ini berhasil dilaksanakan dengan sempurna pada awal abad ke-20. Abdul Wahab kemudiannya meninggal dunia pada tahun 1787.

Timbulnya gerakan ini tidak dapat dilepaskan daripada keadaan politik, perilaku keagamaan, dan sosial ekonomi umat Islam. Dari segi politik, umat Islam di seluruh kawasan kekuasaan Islam berada dalam keadaan yang lemah. Turki Uthmaniah (kerajaan Uthmaniah) yang menjadi penguasa tunggal Islam pada saat itu sedang mengalami kemunduran dalam segala bidang. Banyak daerah kekuasaannya yang melepaskan diri, terutama daerah-daerah di daratan Eropah. Kelemahan ini juga menyebabkan kekacauan politik di daerah-daerah Timur (Arab, Parsi dan lain-lain). Keadaan ini menyebabkan timbulnya negara-negara kecil yang berusaha menguasai daerah-daerah tertentu.

Di samping kelemahan politik, perilaku keagamaan umat Islam pada masa itu merupakan faktor utama yang paling mendorong munculnya gerakan ini. Pada ketika itu, terutama di Semenanjung Arab, telah terjadi penyelewengan dalam memahami al-Quran. Semangat keilmuan yang pernah muncul pada zaman klasik telah pudar dan digantikan dengan sikap cenderung kepada perkara-perkara mistik.

Menurut Wahhabi, tauhid yang diajarkan Rasulullah s.a.w telah diselubungi kurafat dan fahaman kesufian. Masjid-masjid banyak ditinggalkan kerana rata-rata mereka lebih cenderung menghias diri dengan azimat, penangkal penyakit dan tasbih. Mereka belajar daripada seorang fakir atau darwis serta memuja mereka sebagai orang-orang suci dan sebagai perantara mendekati Tuhan.

Dalam keyakinan mereka, Tuhan terlalu jauh untuk dicapai manusia melalui ‘pemujaan’ secara langsung. Tidak hanya kepada guru yang masih hidup, kepada yang sudah mati pun mereka memohon perantaraan. Sebahagian umat Islam sudah meninggalkan akhlak yang diajarkan al-Quran, bahkan banyak yang tidak menghiraukannya lagi. Kota-kota suci Mekah dan Madinah telah menjadi tempat yang penuh dengan penyimpangan akidah, sementara ibadah haji telah menjadi amalan yang leceh dan ringan. Kabilah-kabilah yang kuat dapat menguasai jalur perdagangan utama, sedangkan penduduk awam pada umumnya berada dalam serba kekurangan. Pertanian dan penternakan yang merupakan mata pencarian utama kebanyakan penduduk tidak dapat menjamin kehidupan ekonomi mereka. Hal ini disebabkan oleh keadaan kekacauan, peperangan, perompakan yang dilakukan oleh kabilah-kabilah lain. Akibatnya, penduduk Nejd dan Semenanjung Arab kebanyakan hidup dalam kemiskinan.

Di tengah-tengah kancah kehidupan yang demikian lahirlah Wahhabi sebagai gerakan keagamaan yang berusaha memurnikan agama Islam dari segala aspek seperti yang dituntut al-Quran.

Tema utama dalam fahaman Wahhabi adalah tauhid, yang dianggap oleh Abdul Wahab sebagai inti paling pokok dalam agama Islam. Menurutnya, keesaan Allah s.w.t. itu terserlah dalam tiga aspek.

Pertama, tauhid rububiyah iaitu penegasan mengenai kesatuan Tuhan dan segala tindakan-Nya. Hanya Tuhanlah Maha Pencipta, Pemilik, dan Pemelihara alam semesta. Kedua, tauhid al-asma’ wa as-sifah (kesatuan nama dan sifat), yang tertumpu kepada sifat Allah. Ketiga, tauhid Ilahiah iaitu penegasan bahawa segala ibadah ditujukan semata-mata hanya kepada Allah.

Kaum Wahhabi juga mengecam amalan yang banyak dilakukan oleh kaum Muslim untuk meminta tolong kepada arwah orang-orang suci yang sudah mati, agar ibadah mereka diterima. Menjadikan Nabi Muhammad perantaraan antara seorang Muslim dan Allah juga tidak dibenarkan, kerana Nabi Muhammad tidak dapat memberi petunjuk kepada siapa pun yang disukai kecuali dengan izin Allah dan juga tidak diizinkan oleh Allah untuk memohon pengampunan bagi orang-orang musyrik.

Para pengikut aliran dan gerakan Wahhabi menamakan diri mereka `Muwahhidun’ atau `Muwahhidin’, yang bererti “mereka yang mengesakan Allah”. Sebutan “Wahhabi” sebenarnya berasal daripada lawan mereka, yang kemudian digunakan secara popular di Barat dan dunia pada umumnya.

Usaha untuk menyebarkan fahaman Wahhabi dan memperluas Dinasti Sa’ud mengalami pasang surut yang panjang. Usaha ini pernah menemui kegagalan pada beberapa dinasti keluarga Abdul Wahab dan Dinasti Sa’ud. Ia mula menampakkan kejayaan pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20. Ketika itu seluruh wilayah Hijaz telah dikuasai oleh fahaman ini. Pada tahun 1924, mereka akhirnya berhasil menguasai kota Mekah. Pada tahun berikutnya sekitar tahun 1925, mereka juga berjaya menguasai Madinah dan Jeddah.

Pada ketika itulah mereka mula mendirikan kerajaan Arab Saudi (al-Mamlakah al-Arabiah as-Saudi) dan menerapkan Wahhabi sebagai fahaman rasmi negara.

Bagi kaum Wahhabi, menjadi seorang Muslim tidak cukup hanya dengan menyebut dua kalimah syahadah. Lafaz syahadah itu tidak menjamin kaum Muslim bebas daripada melaku atau mengamalkan perkara-perkara syirik. Orang yang sudah mengucapkan syahadah, tetapi masih mengamalkan hal-hal yang berkaitan dengan amalan syirik (menyekutukan Allah), dicap sebagai orang kafir.

Kerana keyakinan teguh akan bahaya tawassul, kaum Wahhabi mengecam hebat amalan ziarah kubur atau pendirian bangunan di sekitar makam. Menurut Abdul Wahab, sebenarnya amalan menziarahi kubur merupakan perbuatan mulia dan bersifat soleh jika dilaksanakan sesuai dengan semangat ajaran Islam. Namun, kaum Wahhabi melihat bahawa amalan itu mendatangkan kesan buruk kerana menjurus kepada pemujaan bahkan penyembahan tokoh yang sudah mati. Oleh yang demikian, kaum Wahhabi berpendapat bahawa makam yang digunakan untuk tujuan pemujaan itu harus atau wajib dibongkar atau dimusnahkan.

Fahaman Wahhabi ini tersebar luas melalui sokongan pemerintah sehingga mencakupi luar negara. Fahaman Wahhabi juga disebarkan kepada kaum Muslim yang setiap tahun menunaikan ibadah haji ke Mekah. Namun demikian, pengaruh fahaman ini cukup terbatas kecuali di India dan Afghanistan, fahaman atau pengaruh Wahhabi begitu kuat dan kental.

Kaum Wahhabi juga mengambil berat tentang permasalahan bidaah. Bagi mereka, bidaah adalah segala ajaran atau amalan yang bukan berdasarkan daripada al-Quran, hadis dan teladan para sahabat Nabi Muhammad. Abdul Wahab menolak segala bentuk pembaharuan dan menolak pandangan yang menyatakan bahawa sesuatu yang baru itu boleh dilaksanakan sekiranya ia baik dan patut dihargai. Oleh sebab itu, mereka menolak amalan seperti perayaan Maulidur Rasul.

Kaum Wahhabi meletakkan ijtihad itu satu keharusan. Pintu ijtihad tidak pernah tertutup pada pandangan mereka, dan perbuatan taklid adalah dilarang. Mereka menyeru agar kaum muslim mengikut sepenuhnya ajaran al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad hinggakan mereka menolak semua ketetapan keempat-empat mazhab dalam persoalan hukum-hukum (Syafie, Hanafi, Hanbali dan Maliki). Biarpun mereka secara umumnya mengikuti ketetapan atau panduan dalam mazhab Hanbali, mereka tetap melakukan ijtihad sendiri jika ketetapan mazhab itu dianggap bertentangan dengan al-Quran dan sunnah.

Fahaman Wahhabi mempunyai dua inti ajaran, iaitu yang pertama, kembali kepada ajaran yang asli. Ia bermaksud, kaum Muslim mesti kembali kepada ajaran Islam yang dianut dan dipraktikkan oleh Nabi Muhammad s.a.w, sahabat dan para tabiin.

Kedua, prinsip yang berhubungan dengan masalah tauhid. Pemikiran yang dicetuskan oleh Abdul Wahab ini sebenarnya merupakan reaksi terhadap suasana ketauhidan yang telah dirosakkan oleh fahaman-fahaman musyrik, bukan disebabkan oleh impak gerakan politik.

Sebagai usaha melakukan pemurnian tauhid ini, secara khususnya Ibnu Abdul Wahab menyusun Kitab at-Tauhid yang berlegar sekitar permasalahan tauhid, syirik, dan lain-lain dan bersangkutan dengan masalah akidah Islam. Menurutnya, kalimah `Lailahaillallah‘ (tidak ada Tuhan selain Allah) tidak cukup hanya diucap, tetapi harus dimanifestasikan dengan `Lamabudillallah‘ (tidak ada yang disembah kecuali Allah).

Melalui prinsip tauhid sebegini, Muhammad bin Abdul Wahab menyerang dan menghapus semua amalan buruk yang terdapat dalam masyarakat Arab. Menurutnya, orang yang menyembah selain Allah telah menjadi musyrik dan boleh dibunuh. Hal-hal yang termasuk syirik adalah meminta pertolongan bukan lagi kepada Allah tetapi kepada syeikh, wali, atau kekuatan ghaib, tawassul (berdoa dengan perantaraan syeikh tarekat atau wali) dengan menyebut nama nabi atau malaikat sebagai memohon syafaat selain daripada Allah.

Dalam usaha memurnikan ajaran tauhid ini, para pengikut Muhammad bin Abdul Wahab merobohkan kubur-kubur biasa dikunjungi oleh mereka yang ingin meminta syafaat daripada orang yang telah dikuburkan. Pada tahun 1802, mereka menyerang Karbala kerana di kota ini terdapat kubur Saidina Hussein bin Ali bin Abi Talib, yang sangat dipuja oleh golongan Syiah. Beberapa tahun kemudian mereka menyerang Madinah dan menghancurkan kubah yang terdapat di atas makam-makam. Hiasan-hiasan yang ada di kuburan Nabi Muhammad juga dirosakkan. Mereka kemudiannya menyerang Mekah, dan di sini `kiswah’ (kain sutera) yang menutup Kaabah juga dirosakkan. Semua itu dianggap bidaah.

Dan di antara inti ajaran tauhid Muhammad bin Abdul Wahab yang lain iaitu meminta syafaat selain kepada Tuhan juga syirik, bernazar selain Tuhan juga syirik, memperoleh pengetahuan selain al-Quran dan hadis merupakan kekufuran, tidak percaya kepada kadar Tuhan juga merupakan kekufuran, demikian pula, mentafsirkan al-Quran dengan takwil adalah kafir.Oleh SITI SALIHA SIRIN

AMALAN DI BULAN RAMADHAN

Sebaik-baik amalan di bulan Ramadhan ialah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila datang bulan Ramadhan, maka tibalah bulan yang memberi berkat, iaitu diwajibkan oleh Allah S.W.T ke atas kami berpuasa sebulan di bulan Ramadhan, dibuka pintu syurga dan ditutup pintu neraka jahannam, diikat syaitan-syaitan di bulan Ramadhan, ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, sesiapa yang memuliakan, maka ia mendapat kemuliaan daripada Allah”.

Oleh itu pada bulan yang mulia ini hendaklah kita sentiasa melakukan sebanyak mungkin amalan kebajikan selagi mampu kerana setiap amalan yang dilakukan pada bulan ini akan dilipatgandakan pahalanya. Antara amalan yang boleh boleh dilakukan pada bulan Ramadhan adalah dengan memperbanyakkan membaca al-Quran secara tadarus berkumpulan atau secara sendirian, berdoa, solat sunat dan terawih secara berjamaah di surau atau di masjid, sedekah dan bersahur. Ini kerana ada sebuah hadis yang menyebut bahawa:

“Orang yang sembahyang pada bulan Ramadhan, setiap kali sujud, akan dikurniakan kepadanya 1700 kebajikan, dan dibinakan rumah di dalam syurga daripada permata. Bagi orang yang berpuasa dan beribadah 70 ribu malaikat akan meminta ampun baginya daripada pagi hingga tenggelam matahari dan dibina sebuah mahligai baginya”.

Selain itu, terdapat juga hadis dari Jabir dari Nabi s.a.w:
“Apabila malam terakhir dari bulan Ramadhan datang, maka menangislah seluruh langit, bumi dan para malaikat, kerana musibah yang akan menimpa umat Muhammad” Rasulullah s.a.w ditanya: “Musibah apakah ya Rasulullah?” Nabi s.a.w menjawab: “Perginya bulan Ramadhan, kerana di dalam bulan Ramadhan itu semua doa-doa dikabulkan, semua sedekah diterima dan semua kebaikan dilipatgandakan pahalanya serta seksa pun dihentikan”. “Apakah ada musibah yang lebih besar daripada perginya bulan Ramadhan?”, “Kalau semua langit dan bumi menangis demi kepentingan kita, maka tentu kita lebih banyak menangis dan lebih menyayangkannya kerana terputusnya segala keutamaan dan kemuliaan”.


Hadis ini menunjukkan bahawa amalan-amalan orang yang berpuasa sentiasa dalam pemerhatian Allah S.W.T. dan barangsiapa yang banyak berdoa dan ikhlas dalam amalannya, nescaya Allah akan memakbulkan doa orang-orang yang bertakwa.
Seterusnya terdapat hadis daripada Abu Hurairah r.a katanya:
“Aku dengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Jangan kamu tolak orang yang meminta walaupun dia kafir”, kata seorang sahabat, “Ya Rasulullah! Adakah kami bersedekah dengan sesuatu dari harta kami kepada orang kafir?”, Jawab Nabi: “Mereka juga adalah makhluk Allah. Hakikatnya sedekah itu jatuh pada tangan Tuhan Yang Maha Merahmati”.

Ini menjelaskan bahawa amalan bersedekah ini sangat dimuliakan di sisi Allah walaupun sedekah tersebut dihulurkan kepada orang kafir. Ini kerana yang dinilaikan di sisi Allah ialah keikhlasan hati seseorang dalam menghulurkan hartanya kepada orang lain dan keikhlasannya dalam melaksanakan sesuatu ibadah.

Ianya juga meneladani sifat Ar Rahman dan Ar Rahim di sisi Allah S.W.T, di mana dengan sifat Ar-Rahman iaitu penyayangnya Allah kepada makhluk di syariatkan sedekah yang boleh diluaskan pemberiannya kepada semua makhluk sekalipun kafir. Begitu juga dengan sifat Ar Rahim iaitu Maha Pengasihnya Allah kepada orang-orang yang beriman kepadaNya, dikiaskan dengan perlaksanaan ibadah zakat yang hanya dikhususkan kepada umat Islam memberi dan menerimanya.

Sesungguhnya Islam itu tidak membebankan hambanya. Oleh itu orang yang berpuasa juga digalakkan melakukan amalan bersahur pada pertengahan malam sehingga terbit fajar dan sunat dilewatkan. Ini bagi mengelakkan mereka dari merasa lapar ketika melakukan ibadah puasa pada keesokan harinya.

Dari Zaid bin Thabit berkata: “Kami bersahur bersama Rasulullah s.a.w, lalu kami berdiri untuk menunaikan solat, saya bertanya: “Berapakah jarak antara keduanya?” Ujar Nabi s.a.w: “50 ayat (lebih kurang 15 minit)”.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

أهلا يا رمضان
Ihsan Mimbar Ulama

CIRI CIRI JEMAAH ISLAM

1. Dasar perjuangan jemaah tersebut ialah Islam
Kita telah diperintahkan oleh Allah dan kita juga telah meyakini bahawa Islam itu adalah agama yang lengkap dan menyeluruh seperti mana yang telah di sebut dalam ayat terakhir yang diturunkan oleh Allah swt: Maksudnya: "Hari ini telah aku sempurnakan bugi kamu agama kumu,telah aku cukupkan keatasmu, nikmatku dan aku redhakan Islam itu sebagai cara hidip kamu yang sebenar". (Surah al-Maidah ayat:3)

Di atas dasar keyakinan ini maka wajib bagi kita untuk meletakkan Islam di hadapan dalam semua ruang lingkup kehidupan kita.

2. Perlembagaan hidup yang utama adalah Al Qur'an dan As Sunnah

Hadith Nabi saw yang bermaksud: "Aku tinggalkan kepada kamu 2 perkara. selagi mana kamu berpegang kepada dua perkara ini kamu tidak akan sesat buat selama lamanya. iaitu Kitab Allah dan sunnahku "(Bukhari)

3. Rujukan dan panduan hidup yang utama adalah Al-Qur’an

4. Terbinanya jemaah itu adalah atas kesedaran umat Islam sendiri kerana tuntutan al-Qur’an dan sunnah.
Ia bukan kerana dengki, khianat, atau hasutan dan pihak lain. Tetapi Islam yang nak dibawa adalah Islam yang timbul atas kesedaran terhadap kewajipan mereka untuk menyampaikan dakwah dan kewajipan untuk menegakkan Daulah Islamiah.

5. Melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar secara serentak.
Keadaan ini mengambarkan tasawwur Islam yang sebenar yang mana perlaksanaan dua perkara dalam keadaan serentak bahawa Islam itu adalah al-Din yang bencikan kepada kekufuran dan sangat memerlukan perkara yang ma’ruf sebagai landasan utama. Islam tidak boleh tertegak bersama terbinanya jahiliah di atas muka bumi.

6. Menyeru ke arah Islam yang syumul dengan menjadikan Islam sebagai Ad-Deen.
Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya. Dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan".

Sebagai individu yang mengaku dirinya sebagai muslim tidak boleh mengambil dalam perkara-perkara tertentu yang dirasakan penting untuk diri sendiri dan tidak bercanggah dengan kehendak diri. Islam dengan agama lain adalah seperti minyak dengan air yang tidak akan bercampur walau dengan apa cara sekalipun kita lakukan. Islam adalah Islam, yang ada manhaj hidupnya sendiri dan manhaj itu tidak pernah ditiru dari mana-mana manhaj golongan kuffar yang ada di atas muka bumi ini.

7. Jemaah yang membina akal pemikiran manusia serta yang mengarahkan penghayatan terhadap Islam.
Ia mengutamakan keredhaan Allah tanpa mencicirkan dunia dalam kehidupan Islam adalah agama yang mementingkan kehidupan yang seimbang antara dunia dan akhirat. Manusia boleh mencari apa sahaja yang mereka mahu di dunia ini, tetapi mereka tidak boleh melupakan akhirat, sepertimana pepatah Arab yang mengatakan:

Maksudnya: Dunia ini adalah ladang bagi akhirat. Islam tidak pernah menganjurkan umatnya untuk hidup semata-mata kerana dunia atau akhirat. Islam bukannya agama yang menyuruh umatnya menjadikan maddiyyah sebagai wawasan untuk berjaya. Itulah sebabnya Islam tidak menggalakkan umat manusia melonggokkan harta kemudian lalai dengan perintah Allah, tetapi harta itu disedekahkan atau dihadiahkan kepada golongan yang lemah. Itulah sebabnya di dalam Islam ada zakat. Islam mendidik hati dan syakhsiah umatnya untuk taat kepada perintah Allah. Selepas itu manusia akan dapat apa yang dihajatinya di dunia dan di akhirat.

8. Jemaah yang menjadikan ulama’ sebagai pimpinan atau rujukan utama mereka selepas al-Qur’an dan al-Hadith, ijma' dan qiyas sebagaimana sabda Rasulullah SAW: Maksudnya: (Ulama’ yang benar-benar menghayati Islam itu adalah pewaris kepada nabi-nabi)

9. Jemaah yang terawal dan tertua (jamaah yang pertama) di dalam satu-satu daulah. , dan mengamalkan Islam secara lebih menyeluruh dan sempurna serta meletakkan al- Qur'an sebagai perlembagaan.
Jemaah yang terawal dalam satu-satu kelompok manusia, itulah jemaah Islam yang wajib diikuti. Selagi mana syarat penubuhannya memenuhi kriteria yang telah disebutkan sebelum ini. Sekiranya ada sesuatu yang dirasakan tidak betul pada jemaah tersebut, maka betulkanlah dengan cara , (muzakarah/munaqasyah) atau berdebat (mujadalah) dengan cara yang baik di antara ahli jemaah. Bukannya dengan cara memprotes dari luar.

10. Jemaah yang tidak memilih orang tertentu sahaja menjadi ahlinya.
Jemaah ini boleh disertai oleh semua manusia, dan syarat utama untuk menggabungkan diri dengan jemaah ini adalah Islam, dan ahlinya mestilah taat sepenuhnya kepada pemimpin tanpa membantah, selagi mana pemimpin itu taat kepada Allah.

Rasulullah SAW ada bersabda: Maksudnya: "Tidak ada ketaatan yang boleh diberikan kepada makhluk lerhadap perkara maksiat yang dilakukan di sisi Allah".

Jemaah itu pula mestilah membela hak-hak Islam serta umatnya. Tidak ada ‘double standard’ dalam membela hak umat Islam sama ada terhadap golongan miskin atau kaya.

11. Asas perjuangan tersebut adalah ke arah penyempurnaan aqidah umat Islam.
Aktiviti utama yang ditekankan dalam jemaah tersebut adalah aktiviti yang lebih mementingkan aqidah umat islam. Mereka membela aqidah umat dan cuba mengelakkan umat dari terkeluar Islam. Mereka sanggup mempertahankan aqidah dengan berani dan berterus terang serta menolak segala bentuk amalan syirik. Mereka juga tidak mengambil sebarang dasar atau sistem dalam hidup mereka dengan sesuatu yang boleh menyebabkan syirik

12. Matlamat utama jemaah tersebut adalah untuk menubuhkan sebuah negara berasaskan pemerintahan Islam.
Ini kerana perjuangan umat Islam yang ada sekarang adalah lebih kepada mengikut waqi’ perjuangan Rasulullah di Madinah. Matlamat utama jemaah tersebut adalah untuk meletakkan semua umat Islam di bawah satu pemerintahan Islam, yang mengamalkan dasar-dasar dan sistem Islam di dalam pemerintahan secara kaffah (sepenuhnya). Ianya ditadbir oleh seorang pemimpin yang beragama Islam dan faqih serta boleh menjadi qudwah untuk semua dalam mencari kebaikan.

Mereka dengan berani dan tidak bersembunyi memperjelaskan kepada semua manusia bahawa cita-cita mereka adalah untuk mengembalikan Khilafah Islamiah dan melaksanakan perundangan mengikut ketetapan Allah. Untuk itu, mereka perlukan suatu kuasa untuk melindungi hukum-hukum Allah. Jika tidak ada kekuasaan bererti kebenaran tidak dapat dinyatakan dengan sebenarnya.

13. Jemaah yang menyerahkan seluruh pergantungan dan ketaatan (wala’) hanya kepada Allah SWT, walaupun tidak diterima oleh manusia atau makhluk lain.

Jemaah ini akur dengan segala ketetapan qada’ dan qadar Allah. Mereka redha terhadap apa yang patut di terima tanpa mengingkari perintah Allah. Yang penting mereka dapat menjalinkan hubungan dengan Allah sebagai hubungan antara tuan dengan hambanya tanpa ada sebarang sekatan atau hijab.

Jemaah Islam juga akan sentiasa bertentangan dengan kebatilan dan kezaliman(seperti yang berlaku terhadap Ikhwan Muslimin, Hamas dan mana-mana saja). Rasulullah SAW juga menyatakan di akhir zaman nanti, Islam sentiasa akan bertentangan dengan kebatilan dan kezaliman dan Rasulullah saw memerintahkan kita supaya tetap berpegang teguh dengan islam. Jemaah sebenar akan mendapat tentangan dari semua pihak. Tetapi tentangan itu adalah ujian dari Allah.by iskandar zulkarnain