Tuesday, March 24, 2009

Relevenkah mahasiswa berpolitik?

sejak akhir2 nie ada kedengaran mahasiswa jangalah melibatkan diri dalam politik. tujuan datang u nak belajar bukannya politik..tapi bagi saya mahsiswa perlu melibatkan dalam politik sekurang-kurangnya mengetahui politik semasa. antara hujah yang saya perolehi dan agak relevan ialah:
1-Ilmu tidak akan berkembang baik dan luas jika hanya didapati dalam bilik-bilik kuliah atau seminar-seminar sahaja. Sebaliknya penglibatan dalam dunia yang lebih luas akan meluaskan ufuk pemikiran kita dan mengembangkan horizon kecerdikan kita.
2-Politik bagi ialah satu perjuangan mendaulatkan islam dengan menggunakan uslub-uslub yang terbaik. Maka alangkah ruginya jika kita hanya menghabiskan masa dengan belajar sedangkan meninggalkan gerak kerja dakwah dan tarbiah dalam melahirkan golongan muda-mudi yang mempunyai integriti yang bersepadu.
3-Menjadi tugas kita untuk memperbaiki keadaan ummah yang kian bobrok dan dihinggap candu hiburan melampau. Dakwah merupakan satau kewajipan dan kita beranggapan bahawa dakwah ialah satu proses menganjak pemikiran dan kehidupan manusia ke satu sistem dimensi yang lebih berkualiti. Sekiranya kita hanya menunggu masa belajar tamat, maka kita akan mendapati akan lahirlah sebilangan besar mahasiswa yang tidak mempunyai nilai dan wawasan.
4-Berjinak-jinak dalam bidang politik seawal mungkin adalah satu pendedahan yang baik. Mahasiswa yang masih lagi baru dan boleh dilentur-lentur perlu dididik dalam dunia politik dalam keadaan terpandu supaya pimpinan masa depan bukannya pimpinan yang kaku dan kelu serta tidak berani.
5-Keadaan mahasiswa yang bacul dan pengecut serta hanya bertindak sebagai pak angguk sebenarnya merugikan kerajaan masa depan. Biasanya yang berani bersuara dan berani membantah, mereka muncul sebagai pemimpinan yang tegar dan tegas mempertahankan maruah negara.
kalau kita mengagap hanya kita perlu kutip ilmu kat kuliah atau seminar sahaja dapatlah disimpulkan bahawa ini merupakan satu mimpi di siang hari kerana mahasiswa di Malaysia diternak bukan dididik, dibelai bukan ditarbiah.
apa pandangan sahabat..???

Tuesday, March 17, 2009

tok kenali

TUK KENALI
Tuk Kenali merupakan seorang tokoh ulama’, guru, dan juga tokoh pembangun pemikiran umat Islam di dunia pada awal abad ke-20. Beliau adalah seorang yang sangat alim dan hidupnya banyak berpandukan kitab Suci Al-Quran di samping Sunnah Rasulullah (SAW). Kehidupan peribadinya yang sungguh mulia wajar dijadikan contoh oleh setiap orang. Oleh itu, karangan ini akan membincangkan tentang sejarah hidup beliau termasuklah riwayat hidup, sifat peribadi, kegiatan, sumbangan, pendidikan dan ketokohan beliau selaku seorang ulama’ yang unggul.
Tuk Kenali atau nama sebenarnya Muhammad Yusof Bin Ahmad, dilahirkan di Kampung Kenali, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan kira-kira pada tahun 1287H bersamaan 1870M, iaitu di penghujung pemerintahan Sultan Muhammad II (1837-1886M). Bapanya bernama Ahmad, manakala ibunya Fatimah. Kedua duanya bekerja sebagai petani. Oleh itu mereka hanya hidup dalam kesederhanaan dan ini telah membentuk peribadi Muhammad Yusuf yang tidak menonjol di kalangan ahli masyarakat lain. Abdullah Al-Qari, (2001).
Sebelum melanjutkan pelajaran ke luar negeri, Tuk Kenali telah mula belajar dengan datuknya sendiri iaitu Encik Salleh (Tok Leh) dalam membaca Al-Quran dan menulis. Datuknya adalah seorang yang wara, mempunyai ilmu agama, seorang yang mempunyai kesedaran, mematuhi perintah agama dan gemar beribadat untuk mencari keredaan Allah. Bapanya juga seorang yang alim tetapi beliau telah meninggal dunia ketika Tuk Kenali berumur 5 tahun. Abdullah Al-Qari, (2001).
Selepas belajar dengan datuknya, beliau meneruskan pelajarannya di Masjid Besar Al-Muhammadi, Kota Bharu dan tempat-tempat pengajian lain di sekitar bandar tersebut dalam pelajaran Bahasa Arab, nahu, saraf dan pengetahuan agama yang lain. Masjid Besar Al-Muhammadi adalah masjid yang menjadi tumpuan beberapa orang guru agama dan beratus-beratus orang murid dari seluruh Negeri Kelantan untuk menyambung pelajaran mereka. Sebagai seorang pelajar, Tuk kenali telah menaruh cita-cita yang kuat untuk melanjutkan pelajaran ke Makkah. Pada tahun 1887M (1305H). sewaktu berumur 18 tahun, Tuk Kenali menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah untuk menambah pelajaran agamanya di samping menunaikan Rukun Islam yang kelima iaitu ibadah Haji. Faudzinaim Badaruddin, (1999).
Pada tahun 1909M (1327 H) iaitu setelah 22 tahun belajar di tanah suci Mekah, maka Tuk Kenali telah kembali ke Kelantan dan seterusnya pada tahun 1911M (1329M) beliau mula membuka pondok Kenali, sebuah tempat pengajian yang kemudiannya menjadi pusat pengajian agama di semenanjung Tanah Melayu. Dua tahun kemudian, beliau menjadi guru di Masjid Besar Al-Muhammadi, Kota Bharu yang waktu itu menjadi pusat pengetahuan agama terbesar di Kelantan, sehingga dikenali di semenanjung Tanah Melayu sebagai Serambi Mekkah.
Pelajar pelajar dari seluruh Kelantan telah membanjiri pondok-pondok yang terletak di sepanjang jalan di kawasan masjid dan di kawasan Kubang Pasu. Selain daripada Tuk kenali, mereka juga belajar dengan Tuan Guru Hj. Nik Abdullah, Tuan Guru Hj.Idris dan lain-lain. Untuk menjaga hak hak masyarakat kampungnya dalam menimba ilmu agama, maka Tuk kenali terpaksa menetap di kampungnya sendiri iaitu sesudah lima tahun mengajar di Masjid Besar Al-Muhammadi. Pondok Kenali terkenal di seluruh semenanjung, malah sampai ke Sumatera, Kemboja, Patani dan lain-lain. Jumlah pelajar yang menetap di pondok meningkat kepada 400 orang. Ia merupakan satu jumlah yang besar dalam perkembangan pengajian Islam di waktu itu. Dalam menjalankan tugasnya, Tuk kenali menetapkan beberapa buah teks pelajaran dalam pelbagai jurusan, iaitu pengajian Bahasa dan pengetahuan-pengetahuan Agama Islam dalam pelbagai peringkat pelajaran. Abdullah Al-Qari, (2001).
Pada umur enam puluh lima tahun, Tuk kenali telah kembali ke Rahmatullah pada hari Ahad 19 November 1933M, kerana suatu penyakit yang dihidapinya di bahagian kaki. Majalah “Pengasuh” keluaran 11 Disember 1933M. mencalitkan berita tentang kematian Tuk kenali yang berbunyi;
‘kembali ke Darul-Baqa 1352 yang meredupkan alam Kelantan dengan dukacita. Innalillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun’
‘Hari wafatnya; dilawati oleh tidak kurang daripada 2,500 orang dan disembahyang jenazahnya lebih daripada seribu orang yang khalis liwajhillaahi Ta’ala.’

Tuk Kenali dikebumikan di perkuburan yang sekarang terkenal dengan nama Kubur Tuk Kenali’ di kilometer 5 Jalan Pasir Puteh, Kota Bharu, yang terletak tidak jauh dari istana negeri. Kuburnya selalu diziarahi oleh Duli yang Maha Mulia Al-marhum Sultan Ibrahim, nenekanda kepada Duli Yang Mulia Sultan Ismail Putera sekarang.
Tuk Kenali adalah di antara orang-orang yang menjawat jawatan dan tugas terpenting dalam perkembangan pengajian Islam dan pertubuhan kebudayaan timur yang berteraskan Islam di negeri Kelantan. Antara jawatan-jawatan yang pernah disandang beliau adalah seperti Ketua Pelajaran Agama Islam Kelantan, Penolong Mufti, Anggota Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Anggota Majlis Ulama’ Islam Kelantan, Ketua Pengarang Kehormat bagi majalah ‘Pengasuh’ dan ‘Lidah Rasmi’ Majlis Agama Islam Kelantan, dan juga guru Agama di Masjid Besar Al-Muhammadi, Kota Bharu. (Mohd Saipudin, 2003).
Selain itu beliau juga telah ditugaskan oleh pihak majlis Agama Islam Kelantan untuk menterjemahkan Tafsir Al-Khazin yang bertajuk ‘Lubaab at-Ta,wiil fil Ma’aani At-Tanzil’ ke dalam Bahasa Melayu. Tugas berat ini telah dijalankan oleh beliau dan sebahagian daripada tafsir Al-khazin telahpun siap diterjemahkannya. Walau bagaimanapun, naskhah ini tidak dapat dikesan sehingga sekarang. (Mohd Saipudin, 2003).
Dalam kegiatan kemasyarakatan pula, Tuk Kenali telah melancarkan satu gerakan perhimpunan umat Islam yang dinamakan ‘Jam’iyyatul Asriyyah’ (Perhimpunan Semasa) yang membincangkan hal ehwal semasa dalam masyarakat, masalah sosial, dan pebincangan-perbincangan ilmu agama. Untuk mengekalkan gerakan tersebut, maka satu bangunan telah didirikan di tengah-tengah ibu kota dengan nama yang sama iaitu Jam’iyyatul Asriyyah, yang terletak di Jalan Tengku Petra Semarak , Kota Bharu, Kelantan.
Tuk Kenali bukan sahaja terkenal sebagai salah seorang ulama’ besar, bahkan terkenal sebagai tokoh yang mempunyai sifat-sifat utama yang berguna untuk menjadi teladan kepada masyarakat Islam. Antara sifat-sifat teladan tersebut ialah menghormati dan memuliakan ibu, pemurah, suka menderma terutamanya kepada fakir miskin dan kanak-kanak, bersabar dan tidak mudah marah, mengamalkan hidup berdikari, suka membaca buku-buku atau majalah-majalah di mana sahaja beliau berada, suka beriktikaf di masjid, dan amat bersederhana dalam berpakaian. Melihatkan peribadi dan amalan hidupnya, jelaslah bahawa Tuk Kenali terpengaruh oleh ajaran-ajaran Failasuf Islam Iman Ghazali, yang merupakan seorang ahli Tasauf. Abdullah Al-Qari, (2001).
Kemewahan hidup yang terhad dan sifat merendah diri adalah nyata sekali dalam kehidupan Tuk Kenali. Unsur-unsur ini terkandung di dalam doa yang dikumpul dan digubah oleh Iman Al-Ghazali dalam kitabnya “Ayyuhai Walad” (Wahai Anak) yang menjadi amalan Tuk Kenali dan murid-murid beliau sehingga dikenali dengan ‘Doa Tuk Kenali’ yang bermaksud:
‘Wahai tuhan, sesungguhnya aku memohon kepadaMu pemberian yang sempurna, kesihatan yang berkekalan, rahmat yang menyeluruh dan kesegaran yang berguna. Aku memohon daripadaMu puncak kesenangan hidup, puncak kebahagiaan umur, kesempurnaan, kebaikan, juga kemurahan rezeki dan kesopanan yang lebih berfaedah. Tuhanku, tolonglah kami dan jangan pula kami ditindas. Tuhanku, bahagiakanlah kesudahan hidup kami, zahirkanlah hasrat kami dengan amalan amalan kami. Sucilah kesegaran di waktu pagi dan petang. Wahai Tuhanku, tumpahkanlah rahmatMu di tempat kembali kami dan kesudahan kami dan ampunkanlah dosa-dosa kami dan kurniakanlah kebaikan kepada kedaifan-kedaifan kami dan dekatkanlah amalan kami kepada agamaMu. KepadaMu kami berserah dan kepadaMu jualah kami bergantung harapan.’

Suatu usaha beliau yang patut ditiru dalam bidang penulisan ialah beliau mempraktik dan memberi galakan yang sewajarnya dalam bidang penulisan, perkembangan buku, kitab, majalah dan akhbar. Nyata sekali Tuk Kenali adalah seorang tokoh ulama’ yang mencintai ilmu agama dan menggerakkan pembangunan ilmu tersebut selari dengan masa, tempat dan masyarakat di tempatnya. Abdullah Al-Qari, (1981).
Dalam hayatnya, beliau berjuang dengan gigih untuk menghidup dan memperkembangkan ilmu pengetahuan Islam selama suku abad tanpa gaji atau upah dari sesiapa. Perjuangan beliau adalah merupakan suatu perjuangan ikhlas yang patut menjadi contoh kepada pejuang dan pendakwah Islam sepanjang zaman, sesuai dengan kehendak ayat suci Al-Quran yang bermaksud:
‘dan aku (Rasullullah) tidak sekali kali meminta upah (habuan) padamu atas seruan itu; upahku tidak lain selain daripada keredhaan Tuhan Semesta Alam’. (Asy-Syu’araa’: 145)

Kesimpulannya, ketokohan Tuk Kenali dalam bidang agama adalah sangat mengkagumkan, sumbangannya yang besar dalam bidang dakwah, penulisan dan pentadbiran telah meninggalkan satu contoh yang baik untuk masyarakat hari ini. Lantaran itu, marilah kita bersama sama berusaha untuk mencontohi beliau dalam mengejar ilmu dan memperjuangkan agama Islam.


BIBLIOGRAFI

Abdullah Al-Qari B. Haji Salleh, (1981). Sumbangan Tuk Kenali kepada Dunia Ilmu. Cetakan pertama, Kota Bharu; Pustaka Asa.
Abdullah Al-Qari B. Haji Salleh, (2001). Ketokohan Tuk Kenali dan Sumbangannya. Februari 15, 2007 diambil daripada http://www.geocities.com/ediramle_ismail
Faudzinaim Badaruddin, (1999). Kajian Ilmu Ilmu Islam: Prosiding Wacana Akademik Jilid Satu. Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mohd Saipudin, (2003). Nasihat Imaamiyah. Februari 17, 2007 diambil daripada http://www.darulnuman.com/cgi-bin/forum/
W.G. Shellabear, (1994). Siri Kajian Sastera Fajar Bakti Sejarah Melayu. Kuala Lumpur. Fajar Bakti.
William R. Roff, (1974). Tuk Kenali: His Life and Influence; OUP.